Thursday, July 26, 2007

Pemilihan Ahli Jawatankuasa 2007-2009


Semalam 25hb Julai 2007 semua kakitangan mendapat gaji baru. Masing-masing tersenyum lebar. Bayangkanlah, kenaikan yang diterima puratanya lebih kurang RM 500.00 termasuk elaun sara hidup telah melonjak ke P1 T.... yang sepatutnya diterima mengikut gaji lama lebihkurang 7 atau 8 tahun lagi. Terima kasih ajelah pada Presiden Cuepacs, Tuan Haji Omar Bin Osman atas usaha beliau memohon kenaikan gaji bagi semua kakitangan awam yang telah tepu lebih 15 tahun tanpa kenaikan. Syurkur alhamdulillah.
Semalam juga, tergerak hati saya semasa meng 'update' laman web persatuan yang tak berapa canggih tu, terbuka 'Pelembangaan Persatuan' Ayatnya begini:
5.0 Matlamat-matlamat

5.1 Mewujudkan dan menjalinkan perhubungan, kerjasama dan perpaduan dikalangan Juruteknologis Makmal Universiti Malaya.

5.2 Mendapatkan dan menggalakkan mutu latihan dan kemahiran tinggi dalam teknologi makmal bagi Juruteknologis Makmal Universiti Malaya.

5.3 Mendukungkan etika dan disiplin pada Juruteknologis Makmal Universiti Malaya.

5.4 Memajukan aktiviti-aktiviti sosial dan saintifik di kalangan ahli-ahli PJMUM.

5.5 Memberi kesedaran dan kefahaman terhadap peranan Juruteknologis Makmal Universiti Malaya.

5.6 Menyuarakan pendapat dan menjelaskan dasar dan pendirian ahli-ahli kepada badan-badan yang berkaitan.

5.7 Menerbit kertas saintifik, jernal dan bahan-bahan lain untuk mempertingkatkan matlamat PJMUM dengan kebenaran pihak berkuasa.

5.8 Membina, menyelenggara atau mengubahsuaikan sebarang rumah, bangunan atau kerja-kerja bagi mencapai matlamat PJMUM.

5.9 Memiliki, membeli, memajak, menjual harta alih atau tak alih termasuk bangunan, tanah; melabur dan meminjam dengan syarat hasil keuntungan dari aktiviti ini tidak boleh dibahagikan kepada ahli.

5.10 Menerima sumbangan, penajaan dan membuat kutipan derma dengan syarat mendapat kebenaran dari Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
Itulah yang saya terbaca, walaupun sebelum ini ada juga semak-semak pasal perlembagaan tapi tak berapa serius. Setelah saya amati, banyak matlamat yang tertera didalam perlembaan tersebut banyak lagi yang belum disempurnakan dengan jayanya. Tak tahulah kenapa. Apa yang pasti dari pengamatan saya, cuma perenggan 5.2 sahaja yang begitu aktif dilaksanakan dari dulu sehinggalah sekarang iaitu kemahiran dan latihan yang diterapkan didalam Progam Peralihan Pembantu Makmal. Itupun ada sebab-sebab tertentu. Ramai yang dah pun dinaikkan taraf kejayanya. Lebih mudah saya sebut disini, "kenaikan pangkat".
Apakah sumbang ahli jawatankuasa? Tertanya-tanya juga saya arah tuju dan matlamat yang tertera didalam perlembangaan sedangkan dari 10 matlamat-matlamat tersebut belum pun tercapai memandangkan persatuan telah pun berusia 13 tahun pada 1hb Julai 2007. Jadi, pembaharuan perlu dilakukan didalam perlantikan Ahli Jawatankuasa yang bakal dilantik nanti.
Saya sekadar memberi pendapat daripada apa yang saya lalui sepanjang menjadi "Jemputan Khas' untuk persatuan.
Bagi ahli-ahli, kita sebahagian dari warga persatuan diminta untuk bersama-sama berganding bahu bagi merealisasikan matlamat-matlamat tersebut. Sempena Mesyuarat Agong Ke 13 ini, anda sebagai ahli yang berhak memilih Ahli Jawatankuasa Persatuan bagi Sesi 2007-2009 menentukan agar pemilihan nanti dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang cekap dan amanah selaras dengan konsep “Kepimpinan melalui Teladan” dan yang penting juga dapat melahirkan Ahli Jawatankuasa yang bersemangat untuk berkerjasama didalam memperjuangankan matlamat tersebut. Pendapat saya, pilihlah berdasarkan kekuatan cara menjalan tugas untuk kepentingan ahli-ahli, jangan berdasarkan kawan ataupun yang mempunyai agenda-agenda tersembunyi dan bersifat peribadi.
...............................
zainal- label "jemputan khas" boleh hadir setiap mesyuarat tapi AJK dilantik....setahun 3 kalipun payah nak nampak muka...itu realiti

Monday, July 16, 2007

Dilema kumpulan 11 berbanding kumpulan 13


Pegawai Universiti Malaya yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan. Pembantu Makmal adalah layak dipertimbang oleh Pihak Berkuasa Melantik berkenaan untuk kenaikan pangkat secara lantikan ke jawatan Penolong Pegawai Sains Gred C27, tertakluk kepada kekosongan jawatan, apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:-
(a) mempunyai kelayakan di atas; atau
(b) Lulus Peperiksaan Khas; atau
(c) Lulus Diploma Teknologi Makmal Universiti Malaya (Program Peralihan)

............................................

Sejarah tercipta buat diri saya, berpeluang untuk mencuba nasib setelah berkhidmat selama 21 tahun di Universiti Malaya. Tak pernah terfikir pun selama ini dapat ketahap "layak memohon". Apa yang saya percaya, akan tetap menjawat jawatan sekarang ini sehingga pencen. Itulah kebaikan Program Peralihan yang telah membuka peluang kepada orang seperti saya. Bersyukur betul..Maka ramailah dari kalangan yang sejawatan memohon jawatan tersebut. Sijil yang telah lama terperap dirumah, habis semuanya dibongkar kembali. Sijil surat beranak yang dah terperap entah berapa tahun, Sijil S.R.P yang separuh lusuh, Sijil S.P.M yang kurang jelas dan bermacam-macam lagi sijil kursus-kursus yang pernah dihadiri sepanjang perkhidmatan untuk menguatkan permohonan kononnya.
Seramai lebih kurang 50 orang telah dipanggil untuk ditemuduga termasuklah diri yang kerdil ini. Telah menjadi trend di Malaysia, kalau nama berpangkal huruf 'A' akan berada didalam kumpulan yang didahulukan dalam senarai calon yang ditemuduga. Begitu juga kalau berada didalam dewan peperiksaan, kumpulan nama 'A' ini akan berada dimeja hadapan sekali. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin senang sebab telah di 'sort' semasa senarai dibuat. Kebiasaanya saya dalam kumpulan calon yang terakhir disebabkan huruf 'Z' tetapi diberi keistimewaan dalam Angkatan Tentera (Nombor Pendaftar Kenderaan). Hanya itu saja kebanggaan yang berhuruf 'Z'.

Segak-segak belaka pada pagi itu. Ada yang bertali leher, kemeja lengan panjang, kasut berkilat dan ada juga yang sekadar memakai 'Uniform universiti' aje untuk menghadiri temuduga tersebut. Masing-masing punya selera. Layannnn.

Dipendekkan cerita, 11 orang telah berjaya diterima menjawat jawatan tersebut di Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian. 13 orang calon lagi dikategorikan sebagai simpanan sah selama enam bulan (6) dari tarikh surat yang mereka terima. Kumpulan 11 telah menerima dan bersetuju untuk dipindahkan dari jabatan masing-masing walaupun hati berat untuk meninggalkan 'kerusi' yang ada diantaranya sudah belasan tahun didudukinya. Demi kerjaya yang lebih cemerlang, gagah juga mencuba ditempat baru. Kumpulan 13 tertanya-tanya berkenaan status simpanan mereka. Apakah 'simpanan' yang dimaksudkan oleh Bahagian Sumber Manusia terhadap mereka. Berbagai andaian yang dibuat. Ada yang berkata 'mungkin salah seorang dari kumpulan 11 menolak jawatan, maka seorang dari kumpulan 13 secara automatik digantikan tempatnya'. Hanya Bahagian Sumber Manusia sahaja tahu perancangan mereka.

Mesyuarat persatuan, saya bangkitkan masalah kumpulan 13 ini, walaupun saya bukan diantara calonnya. Bukan rezeki saya kot. Tiada jawapan yang pasti diterima. Setelah hampir luput tarikh 'simpanan', kumpulan 13 telah diterima untuk menjawat jawatan dan ditempatkan ditempat asal. Maknanya tidak berpindah. Senyum lebar semuanya dikalangan kumpulan 13. Saya menumpang 'sepinggan mee' semasa salah seorang kumpulan 13 mengadakan jamuan kesyukuran dinaikkan pangkat. Tahniah dari saya.

Kumpulan 11 bagaimana?

Mesyuarat Jawatankuasa kecil KKAUM yang saya turut sama (sebagai jemputan saja) seorang wakil dari kumpulan 11 memohon agar persatuan berbincang dengan Bahagian Sumber Manusia, membawa isu mereka supaya diberi peluang untuk kembali ke jabatan asal. Mungkin mereka dari kumpulan 11 mahukan keadilan sepertimana keistimewaan yang telah kumpulan 13 perolehi. Sebab itu saya katakan, 'dilema kumpulan 11 tersenyum kumpulan 13'. Pepatah ada mengatakan ' Bergembira dahulu, Dilema kemudian' Betul ke?
..................................................
zainal-Masih C17 (Nombor jersi Zainal Abidin Hassan)






Sunday, July 15, 2007

Program Peralihan Pembantu Makmal Ke 2


Program Peralihan ke 2 telah diikuti oleh sebahagian Pembantu Makmal yang terdiri dari kakitangan tetap dan kontrak. Jumlah yang mendaftar pada satu bengkel dan taklimat yang diadakan amat memerangsangkan iaitu seramai lebih kurang 70 orang. Hari pertama kuliah bermula, kehadiran didewan kuliah 2, Fakulti Sains, riuh rendah apatah lagi semangat yang jitu yang ditunjukkan oleh peserta-peserta. Mengimbau kembali ingatan saya pada Program Peralihan Pertama yang saya ikuti sehingga akhirnya. Banyak sungguh pengalaman yang berguna dan kenangan-kenangan yang masih segar dalam ingatan. Jumlah peserta masa itu jauh lebih besar dari Program Peralihan ke 2 ini iaitu seramai 130 orang. Merangkumi pelbagai usia dan boleh dianggap 'veteran-veteran' dalam soal perkhidmatan. Ada dikalangannya hampir mencecah usia bersara tetapi tetap mengagahkan diri demi untuk menimba ilmu. Apa yang menariknya, majoriti yang hadir pada hari itu telah meninggalkan alam pembelajaran yang agak lama, 10 tahun hingga 20 tahun.

Apa yang membanggakan, setelah bertungkus lumus selama 2 tahun serta 80 jam kredit yang diperlukan, mengenepikan hal-hal peribadi dan semangat ingin belajar, seramai 59 telah selamat menerima diploma serta seramai 24 orang telahpun menjawat jawatan Penolong Pegawai Sains hasil dari Program Peralihan ke 1 ini.

Berbalik kepada Program Peralihan ke 2, selesai sudah peperiksaan Tahap 1 Sesi 1 yang diadakan pada 25hb Jun 2007 sehingga 29hb Jun 2007 di Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya. Keputusan telah pun diterima tetapi daripada 60 orang yang mendaftar untuk peperiksaan, peratus kelulusan yang dikeluarkan 30 peratus didapati gagal. Bukan gagal kesemuanya tetapi gagal subjek-subjek tertentu seperti Geologi, Biologi, Matematik, Fizik dan Teknologi Maklumat. Apa yang menarik 50% telah gagal dalam subjek Biologi. Macam-macam cerita didengar daripada peserta-peserta yang gagal. Peperiksaan susahlah, pensyarah kedekut markahlah dan berbagai lagi alasan-alasan yang diberi.

Pemerhatian saya sebagai 'Tukang nota' maksud saya, orang yang kehulu kehilir meng 'xerox' nota kuliah di Bormas (Malaysia) Sdn Bhd di Petaling Jaya sebenarnya kecewa dengan kehadiran peserta itu sendiri. Ponteng kuliah, ponteng kelas amali dimakmal, tidak hadir semasa tutorial dan yang utama sekali, tidak menghantar kerja rumah yang diberikan. Permarkahan dilakukan secara berterusan. Peperiksaan akhir cuma 40% saja dikira. Malangnya, permarkahan berterusan dan peperiksaan akhirpun, peserta tidak mampu untuk mencapai 50 markah yang diperlukan. Jadi salah siapa? Memandangkan rata-rata peserta kali ini terdiri dari mereka-mereka yang usianya jauh lebih muda yang hanya setahun atau paling lama telah meninggalkan alam persekolahan lebih kurang 3 tahun yang lalu.

........................................................................................



zainal- ubahlah sikap sekiranya anda ingin berjaya.

Juruteknologis Makmal




Tengah mencari tajuk-tajuk yang sesuai untuk saya berkongsi bersama. Buntu memikirkan. Al maklum sajalah, saya bukan insan yang terpelajar. Sekadar segulung Diploma saja mampu diterima. Alhamdulillah...
Permulaan sumbangan kecil saya cumalah memperjuangkan nasib teman-teman yang sejawatan.
Mesyuarat PjMUM pertama yang saya hadiri sebagai 'jemputan' di Jabatan Geologi, Febuari 2006 telah membuka lembaran baru. Pada mesyuarat tersebut, saya lebih banyak mendengar. Maklum sajalah, sebagai orang 'hingusan' yang secara tiba-tiba berada dikelompok AJK-AJK yang lebih berpengalaman merupakan satu cabaran buat diri. Terkulat-kulat mendengar perbincangan yang dijalankan. Tak faham pun, mengaku faham.
Macam-macam rungutan yang keluar dari mulut Ahli Jawatankuasa yang berada didalam bilik tersebut. Sebagai orang baru, saya memerhatikan saja.
Sejarah Persatuan, mula ditubuhkan pada tahun 1993. Banyak kertas kerja telah dibentangkan bagi mewujudkan sebuah persatuan yang berdaftar. Tanggal 1 Julai 1994 pendaftar telah dibuat dengan nama 'Persatuan Juruteknologis Makmal'. Mungkin secara kebetulan, tarikh tersebut sama dengan tarikh kelahiran saya ( 1hb Julai) cuma tahunnya aje berbeza. Banyak aktiviti-aktiviti telah dijalankan sepanjang tempoh tersebut. Mesyuarat dengan Kesatuan Kakitangan AM (KKAUM), GAKUM, CEUPACS dan macam-macam lagi yang tak tahu saya nak utarakan disini. Naik turun Kementerian terutamanya Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi bagai dah lali. Menteri dah bertukar, tapi jawatan yang dipohon masih ditakuk lama. Itulah perjuangan yang telah dilakukan oleh persatuan demi kebaikan ahli-ahlinya.
"Apakah Persatuan lakukan untuk merealisasi impian semua ahli sepanjang 14 tahun berjuang" itulah soalan yang saya kemukakan kepada para hadirin yang berada didalam bilik mesyuarat.
Jawapan yang diterima ada bermacam-macam, ada yang mengatakan ingin mengupredkan semua Pembantu Makmal ke Penolong Pegawai Sains. Semasa itu Program Peralihan ke 1 sedang berjalan. Dalam pemerhatian saya ketika itu, tiada gunanya hanya kita saja yang beriya-iya sedangkan Universiti-universiti lain tidak. Zaman dah berubah, maklumat bukan saja dari mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Sebagai jalan alternatif, saya telah mencadangkan agar satu laman web persatuan dibina bagi berkongsi maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan agar semua Universiti tempatan yang lain berpeluang merujuk dan menjadikan Persatuan Juruteknologis Makmal Universiti Malaya sebagai contoh.
Dua tahun (2) telah berlalu. Cadangan dan jangkaan saya tepat, Persatuan kini menjadi 'modul' bagi persatuan-persatuan di Universiti-Universiti Tempatan lain merujuk dan mendapatkan nasihat-nasihat bagi maksud tersebut iaitu pengupredan semua Pembantu Makmal Universiti.
Sehingga hari ini (16hb Julai 2007) jumlah yang telah melawat laman web Persatuan Juruteknologis Makmal Universiti Malaya sebanyak 25,545 (Dua puluh Lima Ribu Lima Ratus Empat Puluh Lima) telah melayarinya dengan jumlah keseluruhan 35, 555 (Tiga Puluh Lima Ribu Lima Ratus Lima Puluh Lima) jumlah besar didalam melayari pautan-pautan yang tersedia ada. Bolehlah dibanggakan juga berdasarkan hanya setahun 3 bulan (4hb April 2006) ianya beroperasi. Terima kasih ajelah kepada "s4.shinystat.com" yang mengendalikan kaunter secara percuma kepada web ini.
Kepada semua, selamat melayari di http://juruteknologis-makmal.um.edu.my/
...................................
zainal- hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.