Wednesday, May 21, 2008

Temuduga kali ke 3

Datang lagi untuk kali ke 3. Tiada sifat berputus asa. Itulah semangat yang telah ditunjukkan oleh semua teman-teman yang belum lagi dilantik ke jawatan Penolong Pegawai Sains. Harap-harap kali ini, impian menjadi kenyataan. Seramai 35 calon hadir pada 20hb Mei hingga 21hb Mei 2008 bagi sesi pengambilan baru. Saya sempat risik-risik jumlah calon dari Cik Zubaidah dari Bahagian Sumber Manusia yang membantu didalam pengambilan kedatangan ditemuduga tersebut.
Apa yang menarik, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan sejumlah 43 jawatan kosong Penolong Pegawai Sains yang perlu diisi pada tahun 2008. Rasa-rasanya peluang kali ini amat cerah. Kalau ada rezeki tak akan kemana.
Gambar diatas sempat saya rakamkan sebelum semua penemuduga hadir. Dah bertambah canggih bilik Court ni. Kali pertama saya hadir pada tahun 1985 semasa menghadirkan diri dalam temuduga. Ketika itu, umur baru 20 tahun. Kini saya hadir pada tahun 2008 ketika berumur 43 tahun. 23 tahun telah berlalu.
zainal.......Penemuduga semuanya baik-baik belaka

Sunday, May 11, 2008

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Fakulti Sains


Hari jumaat 9hb Mei 2008, saya mendapat surat secara 'offical' dari Pejabat Dekan, Fakulti Sains. Terkejut pada mulanya. Setelah dibuka, baru saya tahu isi kandungannya. Ingatkan apa dia, rupa-rupanya, saya telah dilantik menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan bagi Fakulti Sains. Surat ditandatangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan, Prof. Dr Lee Chai Peng selaku Timbalan Dekan (Pembangunan). Saya pernah belajar dibawah Prof. Lee. Beliau mengajar subjek berkaitan Fosil didalam matapelajaran Geologi masa program peralihan yang saya ikuti.
Atas kepercayaan yang diberikan kepada saya, saya ucapkan ribuan terima kasih.
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Fakulti Sains telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan pada 8hb Mei 2008, dipengerusikan oleh Timbalan Dekan (Pembangunan) Profesor. Dr Lee Chai Peng selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Fakulti Sains. Turut hadir semua ketua penyelaras keselamatan jabatan. Prof MafyaRosli Mahat (Jabatan Fizik), Prof. Madya Dr. Richard Wong Chee Seng (Jabatan Kimia), Dr Nur Iskandar Taib (Jabatan Geologi), Dr Ghufran Redzuan (ISB), Prof. Dr Wong Peng Choon (ISM)Encik Zufri Mamat (JPS&T), En. Abd Rahman Mohamed (Pejabat Dekan), Encik V.Gopal Krishnan dan Encik Zainal Aris mewakili Exco Fakulti Sains, Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM) serta En Patrick Lee Kok Yuen sebagai Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Fakulti Sains.
Pada 16hb April hingga 18hb April 2008, kursus berkaitan Keselamatan dan Kesihatan telah diadakan. Bertempat di Jabatan Kimia. Penceramah, Puan Susanna Ameriyanti Suwandi, Pegawai Projek Keselamatan & Kesihatan, Universiti Malaya selaku Setiausaha JAKPUM dari Jabatan Pendaftar.
Diantara objektif utama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Fakulti Sains adalah bagi:
1. Melahirkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
2. Mengenal pasti dan memperbaiki keadaan dan perbuatan yang tidak selamat.
3. Memberi cadangan untuk pembaikan berterusan.
Semoga dengan aktiviti-aktiviti OSH untuk fakulti seperti HIRA, Pemeriksaan Tempat Kerja, Penyiasatan Kemalangan dan Kempen Keselamatan yang telah dijalankan ini, hasrat JAKPUM untuk memperolehi Sijil OSHAS 18000 dalam tempoh 2 tahun akan menjadi kenyataan.
....................................
zainal....pelik sebab dalam jabatan, saya tiada dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan tapi orang lain percayakan saya.

Perhimpunan Hari Pekerja 2008 di Putrajaya


Kali kedua saya dapat hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Kali pertama pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke 8. Serba sedikit cerita dapat saya kongsi bersama pada perhimpunan kali ini, ada dibawah.


'Sektor Awam Cemerlang Negara Gemilang' adalah tema Hari Pekerja Sektor Awam 2008 anjuran Jabatan Perkhimatan Awam (JPA) yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10hb Mei 2008. Universiti Malaya telah mewakilkan 27 orang kakitangannya daripada pelbagai Fakulti dan Jabatan. Diketuai oleh En Hussain Mohd Yasin, Presiden KKAUM selaku Timbalan Presiden CUEPACS.
Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman, Timbalan-Timbalan Presiden dan semua ahli Kongres CUEPACS serta hampir 3000 kakitangan awam turut hadir.
Pengumuman daripada 5 tuntutan yang dikemukakan oleh CUEPACS sejak tahun 2007 oleh Perdana Menteri, hanya 3 daripada tuntutan telah mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. Sebelum ini, tuntutan honorium sebanyak RM 2,000 untuk semua penjawat awam tanpa mengira pangkat telah ditolak. Keputusan kerajaan menerima tuntutan CUEPACS iaitu usia bersara dilanjutkan kepada 58 tahun, peperiksaan tahap kecekapan (PTK) dan pencen mengikut fomula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun telah mendapat tepukan yang gemuruh dari semua yang hadir didalam dewan.
Kerajaan bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima. Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Bagaiamanapun, kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan. Kerajaan bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai kerajaan yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.
' Saya bukan seronok (lihat) orang (penjawat awam) susah dan jika boleh tolong, saya akan tolong tetapi jika tidak boleh, apa boleh buat' kata Perdana Menteri dalam ucapannya. Kerajaan juga memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008 selaras dengan tuntutan CUEPACS sebelum ini. Mengenai PTK, perdana menteri berkata, sebenarnya sejak tahun 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaannya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan. Bagi pegawai Gred 1 hingga Gred 16, kaedah ujian bertulis tidak akan digunakan untuk PTK. Lembaga penilaian kompetensi kementerian, negeri dan agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti dan bagi pegawai-pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.
Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan oleh Cuepacs, termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan awam, ianya masih dalam penelitian kerajaan dan keputusannya akan diumumkan tidak lewat dari pembentangan Belanjawan Negara 2009.
......................................
zainal...kali pertama duduk dibarisan ahli kongres CUEPACS

Thursday, May 1, 2008

Hari Pekerja, 1hb Mei 2008


Jumpa lagi dengan Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman di Johor Bahru, pada sambutan hari pekerja sektor awam peringkat kebangsaan 2008 anjuran CUEPACS di Dewan Jubli Intan. saya sempat membuat sedikit catiatan untuk mengaktifkan blog ini setelah sekian lama tiada berita-berita menarik. Petikan dari ucapan-ucapan Menteri Sumber Manusia, Malaysia, Y Bhg Datuk Dr. S. Subramaniam, ucapan Tuan Haji Omar dan tambahan daripada pengetahuan 'ciput' saya.
Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2008 Anjuran CUEPACS yang telah diadakan di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru, Johor. Kehadiran hampir 2000 orang ahli daripada pelbagai gabungan kesatuan telah melakar sejarah kerana inilah sambutan yang julung-julung kalinya diadakan di Negeri Johor semenjak penubuhan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam secara rasminya pada tahun 1959. Penubuhannya adalah disebabkan beberapa faktor. Diantara matlamat utamanya ialah Membela Hak dan Kebajikan pekerja-pekerja sektor awam.

Dirasmikan oleh Y Bhg Datuk Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia, Malaysia. Turut hadir Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Bin Osman, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato’ Thomas George, Timbalan Presiden 1, Encik Azih Bin Musa, Timbalan Presiden 2, Encik Hussain Bin Mohd. Yassin, Presiden-presiden Gabungan Kesatuan Sekerja seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta pengerusi pengelola sambutan, Encik Mohd. Shaman Bin Jaes.

‘Smart Partnership’ berkaitan rundingan dan muafakat memperjuangkan hak-hak pekerja merupakan tulang belakang antara Kesatuan dan Kerajaan. Semangat perpaduan Kesatuan Sekerja dalam menempuh cabaran daya saing, pemikiran matang serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti telah berjaya meningkatkan kualiti, produktiviti dan intergriti kepada kedua-dua pihak. Pada taat ikrar yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Encik Ahmad Shah Bin Mohd Zain, setiap pekerja perlu bekerja keras, memperkayakan diri dengan sikap masyarakat yang berminda kelas pertama serta berazam menjadi pekerja berinovatif dan kreatif, komitmen serta berazam agar kesatuan sekerja suatu hari nanti akan dihormati, disegani serta disanjung bersesuai dengan tema Hari Pekerja pada tahun ini ialah Pekerja Inovatif, Negara Kompetitif.

Menteri Sumber manusia juga telah mengarahkan agar pihak sektor awam mengoditkan Keselamatan dan Kesihatan (OSHA) ditempat kerja bagi menjamin persekitaran kerja yang selamat. Memberi latihan-latihan lanjutan bagi penambahan pengetahuan dan berkerja dengan penuh tanggungjawab, ubah sikap serta cara berkerja agar permasalahan dapat diselesaikan secara pratikal dan terbuka khususnya perhubungan perusahaan, perundingan secara bertolak ansur.
zainal.....Hidup pekerja, hidup pekerja, hidup pekerja