Sunday, November 30, 2008

PSI-Malaysia Trade Union Rights



28hb November hingga 1hb Disember, saya telah menghadiri satu lagi seminar yang telah dianjurkan oleh Public Services International di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Seminar bertajuk Turn Workshop on Negotations & Violations Reporting ini merupakan seminar kedua yang saya sertai. Kali pertama sewaktu diadakan di Tawau, Sabah.

Seramai 27 orang peserta serta 4 pegawai utama yang telah dipengerusi oleh Encik Mohd Rozeli Majid, Encik Vinothan dan Encik Ikmal sebagai penceramah serta Puan Kangbili merangkap Pengurus Besar PSI Malaysia.
Isu berkaitan Hak pekerja merupakan tajuk yang dibincangkan. Hak-Hak pekerja selama ini sedikit demi sedikit telah tergugat disebabkan beberapa faktor. Diantaranya wujudnya akta-akta yang menghalang pekerja bersuara dan hak perundingan. Disektor awam misalnya kakitangan awam terikat dengan akuan 'akur janji'. Disektor swasta pula pengecilan dari jumlah keahlian menyertai kesatuan berlaku diserata sektor. Inilah yang membimbangkan. Keahlian daripada maklumat yang diperolehi, hanya 8% sahaja yang bergiat aktif didalam kesatuan.
Pencabulan hak pekerja juga telah dibincangkan dengan jayanya. Perbentangan tugasan daripada peserta seminar perlu difikirkan secara positif bagi menangani masalah-masalah yang diutarakan.
Seminar berakhir pada pukul 12.30 tghari 1hb Disember 2008.
...........................................
zainal-berjumpa kembali kawan-kawan PSI di Tawau.





Wednesday, November 26, 2008

Coretan Di Sabah 5


Berpatah balik dari "Kampung Baru Jumpa" ke Tenom dan terus ke Keningau sejauh 70 Km. keletihan mula dirasakan. Dari Keningau ke Kota Kinabalu lebih kurang 7o Km juga. Sepanjang perjalanan yang lengang dijalanrayanya serta lurus, kepenatan beransur hilang. Dikelilingi bentuk muka bumi yang menghijau saujana mata memandang. Persekitaran yang sungguh bersih dengan udaranya yang nyaman membuatkan hati terbuka untuk meneroka lagi sekiranya ada peluang sebegini. Insyallah, mungkin ke Kudat dimasa akan datang.

Coretan Di Sabah 4


Di Keningau, saya hanya singgah di stesen minyak untuk berehat seketika dan membeli sedikit makanan ringan. Mengisi minyak sambil mata melilau melihat keindahan pekan Keningau. Pesat dan membangun sekali pekan ini. Saya tertarik dengan papan tanda "Tenom" di sebutkan juga KM nya sekali. Bagi mengetahui lebih lanjut lagi, saya bertekad untuk ke Tenom. Meneruskan juga pemanduan tanpa rasa takut dan penat, saya akhirnya sampai juga ke Pekan Tenom. Dengar khabarnya, popular dengan buah kopinya dan masyarakat Murut.
Seterusnya, saya pergi ke Kemabong. Perkampungan yang damai dengan sawah yang sedang menghijau telah menarik minat saya untuk merakamkan foto. Apa yang paling saya tidak akan lupakan, nama sebuah jalan dan kampungnya tertera "Kampung Baru Jumpa". Memang nostalgia betul namanya.





Coretan Di Sabah 3



Dari Beaufort, saya terus berpatah balik bagi meneruskan perjalanan meneroka pekan-pekan lain di Sabah. Sepanjang perjalanan balik, saya sempat singgah di Membakut dan Bongawan. Tanpa bantuan kertas rujukan peta, saya menjadikan papan-papan tanda saja bagi menentukan arah yang seterusnya. Keningau merupakan destinasi saya yang seterusnya. Perjalanan ke Keningau sungguh mencabar. Berbukit bukau disulami dengan cuaca yang agak berkabus. Rupanya-rupanya, saya sedang membelah Banjaran Crocker.

Coretan Di Sabah 2




Jika dulu, Kundansang merupakan pekan paling jauh saya jejaki dan Tawau merupakan pekan ke 2 pernah saya bermalam selama 4 hari 3 malam, keinginan untuk terus meneroka tempat-tempat lain didalam Negeri Sabah berterusan. Semasa saya menaiki sebuah teksi, pemandunya agak peramah berceritakan tempat-tempat menarik yang perlu saya lawati. Pekan Beaufort telah menjadi pilihan saya kali ini. Apa yang lebih menariknya, saya telah menyewa sebuah kereta untuk meneruskan hajat yang telah lama terpendam. Alhamdulillah, saya sampai juga di Pekan Beaufort. Didalam perbualan daripada pemandu teksi tersebut, Beaufort terkenal dengan durian merahnya. Memang betul, saya sempat merakamkan foto durian tersebut.

Coretan di Sabah 1

Sabah merupakan sebuah negeri yang indah. Sebutan popularnya, "Negeri Di Bawah Bayu" telah sinonim bagi rakyak Malaysia. Inilah kali ke 3 saya ke Negeri Sabah. Tahun 2007 ketika menghadiri Seminar Sketma di Universiti Malaysia Sabah selama 4 hari. Tahun 2008, di Tawau dan di Kota Kinabalu. Kali ini berbeza kerana sebelum ini saya begitu malas untuk mencatatkan pengalaman-pengalaman harian. Saya lebih memfokuskan pengambilan foto-foto yang menarik untuk kekawan.


Saturday, November 22, 2008

Temuduga PPS Pengambilan daripada Program Peralihan Ke 2

Seramai 28 calon daripada program peralihan ke 2 telah menghadiri temuduga pada 20hb November hingga 21hb November 2008 bagi mengisi kekosongan jawatan Penolong Pegawai Sains. Pemilihan calon adalah berdasarkan kepada yang telah lulus sepenuhnya daripada peperiksaan sesi 1 tahap 1 sehinggalah tahap 3 dan juga syarat-syarat yang lain seperti telah di sahkan dalam jawatan sebelum ini. Kepada semua, saya ucapkan tahniah. Kepada yang gagal terpilih untuk temuduga tersebut, jangan berputus asa. Rezeki anda tetap ada dimasa akan datang, Insyaallah. Seperti saya juga, 4 kali dipanggil untuk temuduga.
.............................
zainal-teringat pula masa temuduga dulu....

Saturday, November 15, 2008

Mesyuarat Kongres CUEPACS, Kota Kinabalu, Sabah

Mesyuarat kongres CUEPACS telah dipengerusi oleh Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman pada 15hb November 2008 di Tang Dynasty Park Hotel pada pukul 9.30 pagi. Kesemua pegawai utama dan ahli-ahli kongres telah hadir. Pandangan dan pendapat dari semua pihak berkaitan masalah-masalah sektor awam telah dibincangkan dalam keadaan yang sungguh harmoni tanpa perbalahan.

Didalam kata-kata aluan Presiden, kejayaan demi kejayaan telah dicapai terutama berkenaan tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Semua ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah bersetuju sebulat suara menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Presiden, Tuan Haji Omar Osman berkata, proses kenaikan pangkat kakitangan awam yang dinilai mengikut prestasi dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan lebih berkesan berbanding kaedah peperiksaan yang digunakan sekarang.

''CUEPACS akan memboikot peperiksaan PTK jika ia tidak dimansuhkan tahun depan dan kita memberi tempoh hingga 31 Disember ini kepada JPA untuk membuat keputusan, sama ada meneruskan sistem itu atau sebaliknya. ''Justeru, kami mahu proses kenaikan pangkat dinilai mengikut prestasi kerja dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan,'' katanya
CUEPACS telah mengadakan perbincangan dengan JPA mengenai kaedah peperiksaan PTK yang baru untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu (Gred 17 hingga 40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga 54) sebelum ini. Selain itu, katanya, perbincangan yang sama juga sudah diadakan untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua (Gred 1 hingga 16). Perbincangan kedua-dua pihak tertumpu kepada pemansuhan peperiksaan PTK dan jika ia tidak diterima, CUEPACS mahu kaedah baru iaitu kenaikan pangkat mengikut prestasi kerja dilaksanakan. Katanya, kaedah itu lebih adil berbanding peperiksaan PTK yang diamalkan sekarang kerana ia memberi tekanan kepada kakitangan awam.

Dalam pada itu, Omar berkata, CUEPACS mahu Elaun Kos Sara Hidup (COLA) diselaraskan di seluruh negara. Menurutnya, ketiadaan elaun COLA bagi kakitangan awam dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung atau kawasan terpencil di negeri masing- masing menimbulkan ketidakpuasan hati mereka terhadap JPA.

Walaupun isu berkenaan sering disuarakan oleh kakitangan kedua-dua negeri itu, tetapi tidak mendapat layanan JPA dan menyebabkan mereka berasa dianaktirikan oleh kerajaan Pusat. ''Kami juga mahu imbuhan tetap perumahan antara RM180 hingga RM230 yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mei 2007, dilaksanakan pada tahun depan.
Mesyuarat Kongres ditangguhkan pada pukul 1.00 ptg.
.....................
zainal- kali pertama menghadiri mesyuarat kongres setelah 3 kali sebelum ini terlepas.

Majlis Penutupan Seminar Bina Ummah, Kota Kinabalu, Sabah

Setelah 3 hari mengikuti seminar bina ummah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malayasia dengan kerjasama CUEPACS seluruh Malaysia yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama gabungan kesatuan mewakili keseluruhan 1.3 juta pekerja sektor awam, YB. Haji Shabudin Bin Yahya, Timbalan Yang Dipertua, Yayasan Islamiah Malaysia (YADIM) telah merasmikan upacara penutupan.

Didalam ucapannya dihadapan semua peserta seminar, beliau berharap agar perkongsian bijak diantara YADIM dan CUEPACS berterusan bagi melengkapi dan berkerjasama agar kualiti hidup bagi penjawat sektor awam dapat dimantapkan dari masa ke semasa. Seminar tersebut juga diharapkan dapat mengupayakan masyarakat pekerja akan lebih hebat dan berilmu.
Disamping itu juga, kemahiran perbangunan kerohanian dapat dihurai dan dilaksanakan dari satu peringkat ke satu tahap bagi meningkatkan mutu, kualiti serta kemampuan individu itu sendiri.
........................
zainal-petua 7 kali sentuhan akan tetap diingat selalu..

Friday, November 14, 2008

Seminar Bina Ummah, Kota Kinabalu, Sabah

"Memberi kefahaman mengenai agenda besar perjuangan Islam dan peranan bangsa melayu dalam menegakkan agama. Memartabatkan bangsa dan memajukan perjuangan besar itu. Memahami Islam sebagai cara hidup tamadun" merupakan objektif Seminar Bina Ummah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dengan kerjasama CUEPACS, Malaysia. Telah dirasmikan oleh Y Bhg Datuk Seri Panglima Hj. Yahya Bin Husin, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian Dan Industri Makanan pada 13hb November 2008. Bertempat di Tang Dynasty Park Hotel, Kota Kinabalu, Sabah.

Didalam ucapannya, Y Bhg berkata,
"Saya berharap CUEPACS Sabah mengikut jejak langkah ini, walaupun saya sedar badan ini tidak pernah mengambil tindakan drastik terhadap kerajaan negeri, jabatan atau agensi-agensi tempat mereka berkhidmat. "Ini adalah tugas mereka dan segala tuntutan serta tindakan yang diambil oleh CUEPACS terhadap kerajaan adalah demi kebaikan dan faedah ahli-ahlinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Bina Ummah Bagi Pemimpin CUEPACS dan Kesatuan Gabungan. Seminar tiga hari bermula 13hb Novem hingga 15hb Nov 2008 anjuran bersama oleh Yayasan Dakwah Islamiah dan CUEPACS. Hadir sama, Presiden CUEPACS, Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Sabah, Pengiran Anak Pengiran Mubin selaku penghulu seminar tersebut.
CUEPACS hari ini dihormati bukan sahaja di kalangan penjawat awam tetapi juga di kalangan peniaga, pengilang dan pelabur. "Oleh itu, imej CUEPACS yang saya rasa pada tahap ini cukup membanggakan kerajaan dan ia perlu dipertahankan dan dipertingkatkan lagi," katanya.

"Bagi pihak kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dan menghormati kesatuan-kesatuan sekerja," Sementara itu, katanya, anggota sektor awam perlu terus meningkatkan lagi kualiti dan integriti perkhidmatan supaya dapat memenuhi harapan dan kehendak rakyat yang merupakan pelanggan kepada kerajaan. Rakyat kini sudah pandai menilai sumbangan dan perkhidmatan kita dan mereka mahu yang terbaik, cepat dan berkesan.

"Oleh itu, Kita perlu melakukan anjakan paradigma supaya selaras dengan hasrat kerajaan dan pucuk pimpinan negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam sebarang tindakannya," katanya. Seminar Bina Ummah itu diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja di kalangan pemimpin CUEPACS tetapi juga pemimpin kesatuan sekerja gabungan yang lain.

"Sudah tentu, jika kepimpinan sesuatu organisasi itu mantap, berkualiti dan berintegriti, maka hasilnya ialah ahli-ahli akan ikut serta dan sentiasa mengamalkan prinsip kepimpinan yang sama. "Apa lagi mereka terdiri daripada anggota sektor awam, maka kesan kebaikan akan dirasai oleh anggota sektor awam dalam jabatan atau agensi di mana mereka berkhidmat termasuk juga di Sabah," katanya.

Tambahnya, pimpinan kesatuan sekerja turut diingatkan supaya sentiasa menyelesaikan sebarang isu berbangkit melalui perundingan.
........................
zainal-update di warisan rakyat, kota kinabalu.