Sunday, May 11, 2008

Perhimpunan Hari Pekerja 2008 di Putrajaya


Kali kedua saya dapat hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Kali pertama pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke 8. Serba sedikit cerita dapat saya kongsi bersama pada perhimpunan kali ini, ada dibawah.


'Sektor Awam Cemerlang Negara Gemilang' adalah tema Hari Pekerja Sektor Awam 2008 anjuran Jabatan Perkhimatan Awam (JPA) yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10hb Mei 2008. Universiti Malaya telah mewakilkan 27 orang kakitangannya daripada pelbagai Fakulti dan Jabatan. Diketuai oleh En Hussain Mohd Yasin, Presiden KKAUM selaku Timbalan Presiden CUEPACS.
Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman, Timbalan-Timbalan Presiden dan semua ahli Kongres CUEPACS serta hampir 3000 kakitangan awam turut hadir.
Pengumuman daripada 5 tuntutan yang dikemukakan oleh CUEPACS sejak tahun 2007 oleh Perdana Menteri, hanya 3 daripada tuntutan telah mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. Sebelum ini, tuntutan honorium sebanyak RM 2,000 untuk semua penjawat awam tanpa mengira pangkat telah ditolak. Keputusan kerajaan menerima tuntutan CUEPACS iaitu usia bersara dilanjutkan kepada 58 tahun, peperiksaan tahap kecekapan (PTK) dan pencen mengikut fomula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga 30 tahun telah mendapat tepukan yang gemuruh dari semua yang hadir didalam dewan.
Kerajaan bersetuju untuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima. Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Bagaiamanapun, kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Januari 2009 tanpa bayaran tunggakan. Kerajaan bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai kerajaan yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.
' Saya bukan seronok (lihat) orang (penjawat awam) susah dan jika boleh tolong, saya akan tolong tetapi jika tidak boleh, apa boleh buat' kata Perdana Menteri dalam ucapannya. Kerajaan juga memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 58 tahun mulai 1 Julai 2008 selaras dengan tuntutan CUEPACS sebelum ini. Mengenai PTK, perdana menteri berkata, sebenarnya sejak tahun 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaannya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan. Bagi pegawai Gred 1 hingga Gred 16, kaedah ujian bertulis tidak akan digunakan untuk PTK. Lembaga penilaian kompetensi kementerian, negeri dan agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti dan bagi pegawai-pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.
Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan oleh Cuepacs, termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan awam, ianya masih dalam penelitian kerajaan dan keputusannya akan diumumkan tidak lewat dari pembentangan Belanjawan Negara 2009.
......................................
zainal...kali pertama duduk dibarisan ahli kongres CUEPACS

No comments: