Thursday, April 30, 2009

Lepas seksa...tunggu keputusan pula

Hari yang mendebarkan bagi semua. Seawal pukul 6.00 pagi menerima SMS dari seorang teman menanyakan soalan-soalan yang bakal keluar. Alhamdulillah, semalam saya mendapat SMS dari Hj Elias menyatakan bahawa beliau mendapat klu-klu soalan yang akan keluar dari sumber-sumber sahih. Memang betul, semuanya benar belaka.
Sempat menyebarkan SMS kepada teman-teman tentang perkara tersebut tetapi disebabkan masa yang singkat, saya cuma dapat menyemak-yemak sahaja tajuk berkaitan.
Peperiksaan hari ini, sekadar berpuashati sahaja. Kalau ada rezeki lulus, bersyukur ke hadrat Illahi. Saya telah mencuba semampu yang boleh. Hanya berserah.
........................................
zainal-objektif ok, subjektif rasanya ada kekeliru dengan jawapan yang dijawap.

Wednesday, April 29, 2009

Berserabut....

Beginilah keadaan atas meja sama seperti didalam kepala...berserabut. Esok nak menghadapi peperiksaan Induksi. Peningggg. Banyak sangat nak dibacanya. Sampai tak membaca jadinya. Main selak-selak aje. Dah tak larat. Mengadap ajelah esok pagi.

Tuesday, April 28, 2009

Induksi Hari Terakhir

Satu-satunya kursus induksi yang berjaya mengadakan gambar beramai-ramai. Idea dari saya sendiri. Sebagai kenangan bagi memperingati nama-nama mereka, saya abadikan disini. Mungkin 10 atau 15 tahun akan datang, ada diantara mereka dari kumpulan profesional akan memegang jawatan tertinggi di Universiti Malaya. Tidak mustahil kan?

Senarai nama-nama peserta:

Dr. Firuza Begham Binti Mustafa (Jabatan Geografi), Dr. Azizah Binti Mainal (Jabatan Kimia), Dr. Yeen Wing Choy (Jabatan Surgeri), Dr. Amarpreet Kaur a/p Amar Singh (Jabatan Perubatan Psikologi), Dr Hairul Anuar Bin Tajuddin (Jabatan Kimia), Dr. Siti Rohana Binti Majid (Jabatan Fizik), Dr. Edward Wong Sek Khin (Jabatan Pemasaran dan Sistem Maklumat), Dr. Yusniza Binti Kamarulzaman (Jabatan Pemasaran dan Sistem Maklumat), Dr. Kiew Lik Voon (Jabatan Farmakologi), Dr. Jamila Binti Mohd (Rancangan Persediaan Khas Jepun, merangkap timbalan penghulu), Dr. Zuraiza Binti Mohamad Zaini (Jabatan Patologi Mulut, Perubatan Mulut & Periodontologi), Dr. Wan Hamratul Azliza Binti Wan Harun (Jabatan Perubatan), Dr. Sr Azlan Shah Bin Ali (Jabatan Ukur Bagunan), Dr. Oon Shea Ming (Institut Sains Matematik), Tang Li Yoong (Sains Kejururawatan), Puan Rasnah Binti Abdul Rahman (Sains Kejururawatan), Puan Lorli Binti Abu Chek (IPPP), Puan Maznah Binti Azis (Seksyen Kaunseling & Bimbingan), Chai Hann Juang (Jabatan Farmakologi), Puan Intan Suhana Binti Hamid (Pejabat Dekan Pergigian), Encik Rozaini Bin Abdul Rahim (Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Puan Rabiatun Adauyah Binti Ishak ( IPPP), Cik Nur Ayuni Binti Mohd Taupek (Pejabat Bendahari), Encik Amran Bin Mohamed Nor (Pusat Sukan), Puan Hazlyana Binti Mohd Azizuddin (Unit Audit Dalam), Puan Siti Nur Farah Binti Mohd Rowi (Jabatan Rawatan Pergigian Am & Pengimejan Oral & Maksilogasial), Puan Fathiyah Binti Abd Malik (Unit Latihan Bahagian Sumber Manusia), Encik Elias Bin Megat Ahmad (ISB), Encik Norafandi Bin Tamar (Jabatan Kimia), Encik Bahari Bin Ibrahim (Jabatan Fizik), Encik Suhaimi Bin Suriff (Jabatan Fizik), Encik Ismail Bin Che Lah (Jabatan Fizik), Puan Sumiati Binti Pool (Pejabat Dekan Fakulti Pergigian), Encik Mior Ibrahim Bin Mior Norahan (Perpustakaan), Chia Yeng Choo (Jabatan Geologi), Puan Sarah Binti Hashim (Jabatan Geologi), Encik Agos Salim Bin Tasmin (JPPHB), Puan Noraini Binti Daud (Perpustakaan Utama), Cik Noor Hasanah Binti Mohd Hanafi (Perpustakaan Utama), Encik Mohd Faizal Bin Hamzah (Perpustakaan Utama), Encik Abdul Rahman Bin Yusoff (Jabatan Geologi), Encik Zamrut Bin Daunar (Jabatan Geologi), Encik Abdul Hadi Bin Tabrani (Jabatan Perubatan Kemasyarakatan & Pencegahan (SPM).), Encik Zakaria Bin Ahmat (Jabatan Kimia), Encik Shahrom Bin Said (Jabatan Kejuruteraan Awam), Encik Zaharudin Bin Mohd Salleh (Jabatan Geologi), Encik Khairil Azlan Bin Bahrin (Jabatan Surgeri), Chin Siew Yin (ISB), Encik Ahmad Fuat Bin Johan (Jabatan Kimia), Encik Zainal Aris (Jabatan Fizik, Penghulu kursus induksi) serta Encik Shahrizamshazlin Bin Abd. Rahim (Bahagian Sumber Manusia sebagai penyelaras kursus induksi)
.................................................
zainal-sekadar PPS sampai pencen.

Monday, April 27, 2009

Induksi Hari Ke Sepuluh

Hampir dipenghujung kursus. Masing-masing semakin risau. Risau kerana akan menghadapi peperiksaan pada 30hb April 2009. Hari ini juga saya perhatikan setiap kumpulan sibuk menyiapkan tugasan kumpulan masing-masing. Macam saya juga, penceramah yang memberi ceramah bertajuk ’Pengenalan Kepada Pengurusan Kewangan & Belanjawan’, Encik Anuar Bin Salleh daripada Institut Perakaunan Kerajaan semacam masuk telinga kanan, keluar teliga kiri.

Fikiran masing-masing melayang-layang. Saya pun tidak terkecuali. Almaklumlah dah masuk minggu yang ketiga. Menghitung hari kata seorang teman saya. Seperkara lagi apa yang saya lihat, semangat kian luntur. Datang lewat waktu pagi, ada yang datang sesi petang aje. Sekadar ingin memenuhi atendan kehadiran.

Walaupun masing-masing kurang tumpuan semasa ceramah, saya sempat juga mencatitkan beberapa perkara penting.

Pengurusan Kewangan adalah proses yang melibatkan jentera pentadbiran dan kaedah-kaedah di mana dana untuk membiayai perbelanjaan awam diperolehi, dibelanja dan diperakaunkan. Termasuklah proses-proses yang melibatkan perancangan, pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar mengenai pencukaian, belanjawan, perbelanjaan, perolehan, perakaunan dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Ia mesti merangkumi perkara-perkara Perancangan, Pelaksanaan, Penyelarasan, Kawalan, Penilaian.

Pentingnya pengurusan kewangan kerana sumber-sumber (manusia, wang, bahan-bahan dan masa) adalah terhad tetapi permintaan terhadap sumber-sumber tersebut tidak terhad. Terdapat alternatif dalam memperolehi dan menggunakan sumber-sumber tersebut. Pengurusan kewangan adalah nadi bagi sesuatu organisasi, Sumber-sumber ekonomi tidak dapat digerakkan tanpa pengurusan kewangan yang teratur.


Pengurusan kewangan kebiasaanya dilakukan di Satu Kumpulan Wang dimana semua hasil kerajaan yang diperolehi, kecuali wang berkaitan dengan Agama Islam dimasuk dan diperakaunkan di dalamnya. Wang dalam Kumpulan Wang Disatukan ini tidak boleh dikeluarkan tanpa diluluskan oleh sesuatu undang-undang. Mengikut Akta Acara Kewangan 1957, tiga(3) Akaun berasingan disenggarakan di bawah Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

Sesi petang pula, sambungan kuliah daripada Puan Lim Chor Yoke. Talimat berkaitan cuti-cuti penjawatan awam. Bukan cuti-cuti Malaysia.
..........................................................
zainal-fikiran turut melayang-layang.

Sunday, April 26, 2009

Karom Zon 7

Mengecewakan. Perkataan yang paling sukar untuk saya terima. Cuma menang 1 kali, tewas 2 kali. Pesta sukan & rekreasi staf Universiti Malaya 2009 yang meninggalkan seribu kekecewaan yang amat mendalam.
..........................................
zainal-jumpa lagi pada tahun 2010

Friday, April 24, 2009

Induksi Hari Ke Sembilan


Lega…tiada soalan yang akan keluar dalam peperiksaan. Tiga topik hari ini dari semua penceramah tidak termasuk dalam subjek yang akan keluar soalan peperiksaan. Hari ini merupakan hari mendengar disamping menambah pengetahuan sahaja. Bermula daripada Puan Susanna Ameriyati Suwandi (beliau cakap jangan tanya pasal namanya) yang memberi ceramah bertajuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Topik yang paling saya minat. Skop yang lebih menerangkan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994, Apakah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prinsip Keselamatan & Kesihatan, Risiko yang wujud di tempat kerja, Siapakah yang bertanggungjawab serta Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Malaya.

Tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak di atas mereka yang mewujudkan risiko dan mereka yang bekerja dengan risiko tersebut itulah falsafah kewujudan Akta ini. Ianya bertujuan bagi Memastikan keselamatan, kesihatan & kebajikan orang sedang bekerja. Melindungi orang lain terhadap risiko keselamatan atau kesihatan berkaitan aktiviti orang sedang bekerja. Mempromosikan persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak fizikal dan mental pekerja dan Mewujudkan peraturan serta tataamalan organisasi ke arah sistem perundangan

Tugas majikan pula adalah bagi memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan & kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Mengadakan sistem kerja dan penyenggaraan tempat kerja. Membuat perkiraan keselamatan dan kesihatan bagi penggunaan, pengendalian, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan Mengadakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan. Mengada dan menyenggara tempat kerja dan laluan keluar / masuk ke / dari sebarang tempat kerja. Mengada dan menyenggara persekitaran kerja dan dengan kemudahan kebajikan yang mencukupi.

Penceramah ke 2, Prof. Madya Rosli Mahat daripada Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya pula memberi taklimat berkaitan kepentingan sekiranya menjadi ahli sesebuah persatuan. Topik yang relevan kepada kumpulan pengurusan dan profesional sahaja. Sebagai peserta, saya cuma mendengar aje. Taklimat yang disampaikan lebih kepada mempromosi agar kumpulan pengurusan dan profesional untuk menjadi ahli.

Kuliah sesi petang bermula agak lewat. Penceramah tersesat katanya. ‘What everlah’…
Pelik juga alasannya. Tajuk berkaitan Audit Dalaman. Disampaikan oleh Encik Jalani Hassan. Tiada yang istimewa pada tajuk ini. Mendengar sekadar menambahkan ilmu. Ungkapan keramat dari beliau ‘ audit. dalaman datang ke tempat anda bertugas bukan untuk mencari kesalahan”.

.....................................................
zainal-ralat betul hari ini, kotak rokok yang cantik dikebas orang

Thursday, April 23, 2009

Induksi Hari Ke Lapan


Tiga sesi berlainan penceramah. Ceramah pertama sesi pagi telah disampaikan oleh Tuan Syed Haron Ahmad, bekas Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia,Universiti Malaya. Mula bertugas di Universiti Malaya pada tahun 1977. Saya ketika itu baru berumur 12 tahun. Masih di sekolah rendah dalam darjah 6. Beliau bersara wajib pada tahun 2006 ketika berumur 56 tahun. Pernah bertugas dibawah 6 orang Naib Canselor Sekarang berkhidmat dengan syarikat swasta juga sebagai Pendaftar.

Bersesuai dengan pengalaman beliau, topik berkaitan Sejarah dan Struktur Organisasi & Peranan Universiti. Wujudnya Universiti Malaya bermula pada 16 Jun 1905. Dengan penubuhan Sekolah Perubatan Kerajaan-Kerajaan Negeri Selat dan Negeri-Negeri Bersekutu. Pada tahun 1912, King Edward VIII telah mengusulkan agar Sekolah Perubatan bersempena nama beliau ditubuhkan dimana pembelajarannya setaraf dengan Universiti. Tahun 1927, dengan tertubuhnya Kolej Raflles (Sekolah Tinggi) yang menawarkan pembelajaran berbeza seperti Kejuruteraan, Sains maka pergabungan diantara keduanya pada 8 Oktober 1949, maka tertubuhlah Universiti Malaya. Beroperasi di Singapura. Pada 1hb Januari 1962 pula, telah diberi pengiktirafan sebagai Universiti Nasional Tanah Melayu.

Bagi generasi 1951 tradisi melintasi “Quadrangle” merupakan detik yang ditunggu-tunggu. Melintasi Quadrangle merupakan satu upacara yang dilakukan hanya kepada para graduan yang telah berjaya sahaja di tahun akhir pengajiannya. Adalah menjadi kesalahan kepada graduan yang gagal semasa pengajian melintasi Quadrangle.

Bagi Universiti Malaya Kuala Lumpur, Tahun 1966, merupakan sejarah dimana istiadat Konvokesyen yang pertama telah diadakan di Dewan Tunku Canselor.

Sesi ke 2 pula, topik berkaitan “Pengucapan Awam” telah disampaikan oleh Profesor Madya Siti Rohani Kassim, Pensyarah daripada Jabatan IngerĂ­s, Fakulti Sastera & Sains Sosial. Pada sesi ini, peserta kursus telah diberikan tugas secara berkumpulan dengan memilih tajuk-tajuk bebas. Setiap kumpulan perlu melantik seorang dari ahlinya mempersembahkan ucapan. Macam-macam adaaaa.

Petang pula, sesi ke 3. Encik Hashim Ghani, Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia telah menyampaikan ceramah bertajuk “Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Beliau merupakan penceramah yang pernah mengendalikan Kursus Induksi yang pertama sekali saya hadiri pada tahun 1996.

…………………………………..
zainal-banyak sejarah sepanjang berkhidmat.

Wednesday, April 22, 2009

Induksi Hari Ke Tujuh

Harta secara amnya ialah pemilikan sesuatu yang berharga, diperolehi bagi tujuan memegang atau menggunakan dalam sesuatu tempoh atau sepanjang masa didalam menguruskan sesuatu institusi. Sepanjang saya mengikuti kursus samada kursus dalaman ataupun di luar Universiti, tidak pernah ada penceramah yang membawa topik berkaitan Pengurusan Aset. Perkara berkaitan Pengurusan Aset terkandung didalam Pengurusan Harta Awam. Dapat dirujuk pada Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007, Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan. Kemungkinan kalau saya tidak menghadiri kursus induksi ini, sampai bila-bila pun saya tidak akan tahu betapa pentingnya langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh penjawat awam mengurus dengan betul sesuatu aset itu jika berlakunya kehilangan atau sebaliknya. Betapa naifnya pengetahuan saya.

Kuliah hari ini telah disampaikan oleh Encik Pubadi A/L Govindasamy. Beliau berkhidmat di Institut Tadbir Awam Negara atau lebih dikenali sebagai INTAN. Saya adalah diantara kakitangan awam yang bertuah kerana penceramah jemputan urusetia kursus induksi ini terdiri penceramah yang berpengalaman serta berpengetahuan luas.

Aset bermaksud harta benda kepunyaan atau milikan atau di bawah kawalan Kerajaan yang dibeli atau yang disewa beli dengan wang Kerajaan, yang diterima melalui sumbangan atau hadiah atau diperolehi melalui proses perundangan.

Aset Alih pula didefinasikan sebagai aset yang boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain termasuk aset yang dibekalkan atau dipasang bersekali dengan bangunan. Bagi memastikan pengurusan Aset Alih Kerajaan dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan di Kementerian/Jabatan, peranan dan tanggungjawabPegawai Pengawal dalam pengurusan Aset Alih Kerajaan diberi penekanan.

Pengurusan Aset Alih Kerajaan secara menyeluruh belum pernah digubal sebelum ini. Pengurusan Aset Alih sebelum ini merujuk kepada berbagai dokumen seperti Arahan Perbendaharaan (AP), Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor (PP-TPS), Pekeliling Perbendaharaan (PP) dan Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP).

Tatacara pengurusan Aset Alih ialah tatacara bagi menguruskan Harta Modal dan Inventori meliputi:

Bab A : Penerimaan
Bab B : Pendaftaran
Bab C : Penggunaan, Penyimpanan dan Pemeriksaan
Bab D : Penyelenggaraan
Bab E : Pelupusan
Bab F : Kehilangan dan Hapus Kira

Sebagai seorang penjawat awam, peraturan-peraturan pengurusan aset hendaklah dilakukan mengikut tatacara yang diarahkah. Banyak kes-kes berlakunya penyelewengan atas sebab-sebab pengurusan yang tidak cekap dan tidak amanah. Manusia akan mengambil kesempatan apabila diberi kuasa. Harta awam dibuat seperti harta sendiri. Justeru tidak hairanlah dalam dunia hari ini manusia berlumba-lumba dalam kesibukan untuk mengumpulkan harta sebanyak mungkin. Dengan harta, manusia seolah-olah dalam memiliki apa sahaja yang mereka inginkan di dunia ini. Bahkan telah wujud pepatah yang masyhur sekarang ini, “Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Pepatah ini adalah membayangkan bahawa wang telah mendominasi kehidupan manusia zaman moden ini. Dalam kesibukan mengejar harta manusia mungkin boleh terlalai dengan meninggalkan amalan-amalan yang diwajibkan ke atas mereka.

Sesi petang, kuliah bertajuk Tatacara Perolehan Universiti Malaya telah disampaikan oleh Tuan Haji Noor Hashim Taib, Ketua Penolong Bendahari Kanan daripada Bahagian Perolehan Bendahari. Berasal dari Kelantan. Satu topik yang telah menjadi tugasan harian saya sebenarnya.

..................................................
zainal- ada seminggu lagi kena mengadap...

Tuesday, April 21, 2009

Induksi Hari Ke Enam


‘Buatlah sesuatu perkara yang betul tanpa dilihat orang’. Itulah nilai sebenar orang yang berintegriti tapi kebiasaanya apa yang sering saya jumpa, ‘Buat kerja bagi orang nampak’. Itulah hakikatnya yang banyak kita temui. Kalau buat kerja depan bos bukan main lagi.
‘Pengurusan Integriti dan Akauntabiliti merupakan tajuk ceramah pada pagi ini. Awal-awal lagi Encik Mohammad Diah Bin Haji Wahari, A.M.N, Pengarah Sektor Awam, Institut Integriti Malaysia dah tercongok. Mengikut jadual kuliah sepatutnya dimulakan pukul 9.00 pagi selepas kundapan tetapi disebabkan kudapan lambat disediakan, kuliah terpaksa dijalankan lebih awal. Sementara menunggu persiapan kudapan, saya telah mencadangkan agar kuliah dijalankan dahulu. Semua ikut perintah. Bagus betul peserta-peserta ini. Akur dengar cadangan saya.
Pegawai yang berintegriti hendaklah, Mempamerkan nilai moral dan etika yang tinggi, Bertindak dengan jujur tanpa mengambilkira keuntungan peribadi, Berpegang teguh kepada keputusan yang berasaskan kebenaran dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, Tidak menyalah gunakan kuasa atau autoriti, Tidak bertolak ansur dengan tingkah laku yang tidak profesional atau tidak beretika merupakan unsur-unsur yang perlu diterapkan dalam diri seorang penjawat awam. Berat juga tanggungjawab penjawat awam ini. Saya akui, untuk mencapai perkara-perkara tersebut amat berat. Hanya mereka yang benar-benar insan kamil dan ikhlas dalam menjalankan tugas saja akan mampu.
Diakhir ceramah, beliau sempat memberi ungkapan motivasi dalam bahasa inggeris yang berbunyi “ If you lose you money, you lose nothing. If you lose your health, then you lose something but if you lose your integrity, you lose everything. You lose it once, you wil lose it forever. Pandai-pandailah tafsirkan.
Sesi petang ceramah bertajuk Arahan Keselamatan telah disampaikan oleh Encik Hashim Ismail daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. Perwatakan yang selamba. Tidak kering gusi dibuatnya. Penyampaiannya membuatkan peserta gelak sakan. Subjek berkaitan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Definasi dokumen rahsia, apa-apa surat yang dinyatakan dalam jadual dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan denganya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh di kelaskan sebagai Rahsia Besar, Rahsia, Sulit atau Terhad mengikut mana yang berkenaan oleh seorang Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri sesebuah negeri atau pegawi awam yang dilantik mengikut seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972.Penceramah yang sering terlajak, kejab cakap 4.30, kejab cakap 4.40, akhirnya sampai pukul 5.00 ptg baru habis. Masing-masing dah resah nak balik. Saya pun selalu terlajak dalam beberapa hal. Maklumlah selalu tanpa sekatan.

Hari ini baru saya tahu perumpamaan orang melayu dulu-dulu dan sering kita gunakan sehingga ke hari ini “ seperti melepaskan batuk ditangga”. Rupa-rupanya perkataan ‘BATUK’ yang dimaksudkan adalah slang bahasa orang jawa yang bermaksud ‘TEMPURUNG KELAPA’. Mati-mati saya ingatkan batuk kokol ke, batuk kerana sakit tekak ke.. rupa-rupanya maksud perumpamaan itu sebenarnya mengesahkan sikap sesetengah orang-orang melayu dahulu kala iaitu perbuatan sebelum menaiki rumah, menceduk air dalam tempayan yang tersedia ada di tepi tangga untuk mencuci kaki sebelum naik kerumah. Penceduk itu lah sebenarnya dipanggil ‘BATUK’.
Oleh kerana nak cepat naik ke rumah setelah mencuci kaki, ‘BATUK’ dibiarkan bersepah tanpa diletakkan kembali di tempayan. Perbuatan tersebut telah ditaksirkan sebagai memudahkan cara. Tidak mengikut peraturan. Sepatutnya 'BATUK' dikembalikan ke tempat asalnya. Al kisahnya. Manalah teman tahu...Teman saya di pejabat lain pula halnya, suka memanggil saya dengan panggilan ‘BUTUK’. Bila saya tanya maknanya, dia cakap kena cari sendiri. Kalau nak tahu maknanya kena bagi upah. Puas saya cuba mencari maknanya didalam Kamus Dewan tapi tidak jumpa pun perkatan itu.
……………………………………
Zainal-kalau nak cari yang berintegriti (?), datanglah ke Jabatan saya.

Monday, April 20, 2009

Induksi Hari Ke Lima


Minggu lepas, sebagai ‘penghulu’ saya ditugaskan agar membahagikan tugasan kepada setiap kumpulan. Pengagihan dilakukan bagi setiap kumpulan agar melantik ketua masing-masing. Induksi kali ini telah dibahagikan kepada 11 kumpulan. Ada kumpulan terdiri daripada 4 orang atau 5 orang peserta.

Saya berjumpa sendiri dengan kumpulan 4 bagi menanyakan siapakah ketua yang dilantik, jawapan yang diterima, Encik ’simpolan A’ yang jadi ketua tetapi belum hadir lagi. Saya menunggu kehadirian Encik ’simpolan A’. Bila Encik ’simpolan’ hadir, saya mengatakan kepadanya bahawa tugasan menjadi pengerusi majlis dan menemu bual bagi mendapatkan biodata penceramah untuk sesi memperkenalkan penceramah kepada semua peserta kursus. Lain pula jawapan yang saya terima dari Encik 'simpolan A'. Dia mengatakan bahawa Encik 'simpolan B' sebenarnya telah dilantik menjadi ketua kumpulan. Apa dah...berbelit-belit

Memandangkan sikap lepas tangan mereka, saya mengambil tugasan tersebut. Perlantikan ketua sepatutnya telah dilakukan pada minggu lepas tapi inilah satu contoh sikap yang ’kurang prihatin’ bila diberikan tugas. Tiada berkerjasama antara sesama kumpulan. Saya umpamakan kumpulan ini 'bagai kapal tanpa nakhoda'. Nakhoda yang tidak berani bertanggungjawab'

Penceramah hari ini daripada Jabatan Arkib Negara, Encik G Savumtharaj telah menyampaikan ceramah bertajuk Panduan Pengurusan Pejabat. Tajuk baru dan isi kandungannya berbeza. Sebelum ini, Arahan Perkhidmatan. Topiknya menyentuh bab 6, 7, 8, Konsep Pengurusan Rekod. Tidak membosankan.

Definasi Rekod, ’Sesuatu media yang mengandungi maklumat’ dan definasi Fail pula, ’Penyusunan fail-fail kedalam kumpulan-kumpulan yang mempunyai perkara yang sama dimana tiap-tiap fail dan kumpulan fail dikenali dengan identitinya tersendiri’.

Petang pula, Puan Lim Chor Yoke daripada Bahagian Sumber Manusia. Memberi ceramah berkaitan Perintah Am dan Peraturan Pegawai Awam. Saya perhatikan semua peserta, layannnnnnnnn.
……………………………..
zainal- petang sempat ke UM

Sunday, April 19, 2009

Meraba Mencari Arah...

Gambar yang di ambil oleh rakan saya Encik Wan Yusof semasa sesi semangat berkumpulan mungkin secara kebetulan atau sudah ada tanda-tandanya. Sehari suntuk dari semalam hingga hari ini, saya bagaikan meraba-raba mencari arah...hanya empunya diri dan mungkin seorang lagi insan lain memahami apa yang tersirat....

Saturday, April 18, 2009

Plag, Sijil dan Baju..

Dah seminggu saya tak menjenguk tempat kerja. Dikesempatan hari cuti ini dapatlah saya meluangkan sedikit masa untuk kesana. Perasaan rindu dapat dirasakan. 23 tahun saya berkhidmat di Fizik. Seminggu tidak ke pejabat rasanya seperti ada satu kekurangan. Maklum sajalah, dah menjadi rutin sejak 1986 lagi. Secara kebetulan pula hari ini juga pakaian yang ditempah untuk pemain-pemain karom siap dan selamat diagihkan kepada semua. Sebagai pengurus karom untuk tahun ke 2, kebajikan pemain merupakan objektif saya. Kepercayaan yang mereka berikan, saya perlu bertanggugjawab sepenuhnya. Harapan saya cuma satu. Keputusan mestilah lebih baik dari tahun 2008.

Melangkah saja didalam makmal, saya terpandang satu ‘plag’ berserta sekeping sijil penghargaan. Wowwww. Ini dah bagus. Tertulis “Anugerah Kakitangan Cemerlang, Bahagian Teknikal, Jabatan Fizik”. Biar betul dalam hati saya tapi itulah kenyataanya. Terima kasih saya ucapkan kepada urusetia ‘2009 PHYSICS COLLOQUIM’ diatas anugerah ini. Colloqium Physics telah diadakan pada 13hb April hingga 14hb April 2009 iaitu selama 2 hari bagi semua pelajar-pelajar Sarjana dan PhD membentangkan kertas kerja berkaitan penyelidikan dihadapan penilai-penilai berkecuali yang terdiri daripada Profesor, Proresor Madya, Pensyarah Kanan dan Pensyarah.

Terharu rasanya kerana sumbangan kecil saya dihargai dengan anugerah ini. Ianya akan menjadi motivasi untuk terus menyumbang idea dan tenaga di masa datang. Kepada Encik Hii King Ung yang lebih mesra dengan panggilan ’Tony’ dan Encik Kanesh ‘Big Man’, terima kasih ye..

……………………………………….
Zainal-perkara pertama mestilah foto dulu…

Friday, April 17, 2009

Induksi Hari Ke Empat


Sentiasa tersenyum, penyampaian yang jelas, banyak berkomunikasi bersama peserta. Subjek yang tidak membosankan. Itulah gambaran pada hari ke 4 bersamaan hari Jumaat 17hb April 2009 kursus induksi. Pagi-pagi lagi saya terpaksa membuat tempahan bas bagi kegunaan peserta yang beragama Islam bagi mengerjakan sembahyang jumaat. Terima kasih saya ucapkan kepada Encik Alwi diatas kerjasama yang diberikan dan tepat pada masa yang dijanjikan. Itulah istimewanya kakitangan Universiti Malaya.

Kuliah Dasar-Dasar Kerajaan oleh Prof. Madya Dr Faizah Yunus dari Jabatan Pentadbiran & Keadilan Sosial Universiti Malaya amat diminati oleh semua peserta. Masing-masing sibuk memberikan pandangan dan menceritakan pengalaman. Kepada yang dilahirkan pada tahun sekitar 1950an hingga 1959 menceritakan keadaan sewaktu itu. Pengalaman sewaktu kecil, sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat banyak dasar yang telah diwujudkan. Setiap dasar yang dibentuk mempunyai matlamat dan tujuannya tersendiri. Sesuatu dasar bukan dibentuk sewenang-wenangnya. Ia terbentuk akibat munculnya sesuatu isu/masalah dalam masyarakat dan masyarakat menuntut supaya tindakan diambil terhadap isu/masalah tersebut.

1960 hingga 1970, DEB dibentuk berlandaskan Rukun Negara, akibat kajian tragedi 13hb. Mei, 1969. Dasar ini diumumkan dan dilancarkan pada tahun 1970. Tempoh perlaksanaan dan pencapaian matlamatnya ialah 20 tahun, iaitu dari 1971 hingga 1990.

Berbagai-bagai lagi dasar telah diwujudkan. Menjamin setiap individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan.

Petang pula, Penceramah yang tidak asing lagi dikalangan kakitangan Universiti Malaya, Encik Jamaludin Yacob dengan tajuk Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Lebih menumpukan apa yang terjadi didalam pengurusan dikampus dan pengalaman beliau selama 23 tahun berkhidmat.

.................................................
Zainal-dapat berita yang paling dibenci...cek tendang lagi(nama aje Hj tapi munafik)

Thursday, April 16, 2009

Induksi Hari Ketiga

‘Kita kena enjoy, jangan serius sangat, nanti bulu hidung panjang. Itulah kata-kata awal penceramah Tuan Haji Zulkeplee Bin AB. Hamid daripada Intan Kampus Wilayah Tengah. Kelakar, berpengalaman, selamba, main hentam aje tapi mengkagumkan. Itulah kesimpulan yang dapat saya perkatakan tentang diri beliau.

Padat dengan contoh-contoh yang mudah di fahami sepanjang tajuk Pengurusan Organisasi yang telah beliau sampaikan. Ada teka teki, cerita pendek, nasihat, makna disebalik nama. Berbaloi hari ini mendengar ceramah beliau. Langsung tidak membosankan.

Definisi Organisasi- Satu jentera yang mengembeleng antara tenaga manusia dan kerja untuk mencapai sesuatu matlamat. Perlu ada matlamat iaitu Visi, Misi dan Objektif. Fungsi dan kunci utamanya “POLCON”. P untuk Plan, O untuk Organise, L untuk Lead dan CON untuk Control..

Disamping memahami subjek ceramah, terselit juga ilmu ilmiah disebalik nama ISLAM. I untuk Indah, S untuk Selamat, L untuk Lengkap, A untuk Akhlak dan M untuk Maju. Begitulah sempurnanya perkataan serta maknanya.

Sesi petang, Taklimat Sistem Pengurusan Kualiti, oleh Prof M.Y Fong.

………………………………………….
Zainal- Buat penyokong Liverpool, banyak-banyak bersabar ye…Chelsea 7 Livepool 5


Wednesday, April 15, 2009

Induksi Hari Kedua

Tugasan pertama pagi ini, sesi memperkenalkan penceramah kepada peserta kursus. Kuliah pertama bertajuk Sistem Perakaunan Kerajaan Malaysia dan Pekeliling Perbendaharaan. Pagi-pagi kena mengadap penceramah bagi mendapatkan maklumat peribadi seperti menjawat jawatan apa, dari pejabat mana dan lama berkhidmat. Belasah ajelah.
Penceramah hari ini Puan Haliza Harun, Timbalan Bendahari dari Jabatan Bendahari. Rasanya hari ini merupakan kali pertama saya mengenali Puan Haliza. Selama berkhidmat di Universiti, tidak pernah saya berjumpa dengannya. Kalut betul rasanya.
Pening kepala bila mendapat 'handout' setebal 50 muka bercetak depan belakang. Macamana nak menghafal. Banyak betul Pekeliling-pekeling Pembendaharaan ni. Layannn aje lah.
.................................................
zainal- 10 soalan untuk hari ini mesti dihantar jumaat.

Tuesday, April 14, 2009

Induksi Hari Pertama


Hari ini saya menerima kejutan apabila dilantik menjadi “Penghulu” dalam Kursus Induksi Kumpulan Pengurusan Dan Profesinal & Kumpulan Sokongan Gred 27 & 29 (Kumpulan 1) siri 2/2009 dari 14hb April hingga 30hb April 2009. Pemegang No firasat K1 2/2009-35.

Terima kasih saya ucapkan diatas kepercayaan diberikan bagi mengalas tanggungjawab ini. Seramai 52 orang peserta yang mengikuti kursus kali ini. Terdiri daripada Pensyarah, Pensyarah Kanan, Penolong Pendaftar, Pegawai Sains, Penolong Pegawai Sains. Kursus Induksi yang kedua bagi diri saya sepanjang perkhidmatan di Universiti Malaya. Pertama sewaktu Kursus Induksi Kumpulan II siri 4/96 dari 9hb Oktober 1996 hingga 24 Oktober 1996. Ketika itu, saya dilantik sebagai ”Penolong Penghulu” tapi hari ini, setelah `13 tahun berlalu menjadi ’Penghulu’ pula.

Aktiviti hari ini tiada kuliah perlu diikuti. Pagi, penerangan aktiviti kursus daripadaEncik Shahrizamshazlin, Penolong Pendaftar (Latihan) Bahagian Sumber Manusia dibantu oleh Encik Firdaus dan Encik Wan Yusof berkaitan tentatif program dari mula hingga akhir. Bersangkutan objektif, penilaian, tugasan kumpulan dan tugasan individu, ujian akhir dan panel penilai dan paling mencabar sekali sewaktu memperkenalkan diri tetapi kena mengingati nama-nama peserta seramai 51 orang. Aduhhh

Tengahari, Encik Zairul Man daripada Syarikat Accordian telah mengendalikan aktiviti Pembangunan Dalam Kumpulan. Hilang mengantuk dibuatnya. Tidak seperti awal pagi tadi.

Diantara aktivitinya, menggunakan perkataan Harimau, Pistol, Manusia. Mewah dan Haa. Tutup mata mencari objek ‘Panjang dan Lembik’ serta membina Segi Empat daripada objek ‘Panjang dan Lembik’ ditengah panas terik dengan keadaan tutup mata. Saya andaikan ‘Buta sekejap’. Haru biru dibuatnya. Ramai sangat nakhodanya sepanjang aktiviti tersebut berjalan.

Petang, sambung aktiviti pembangunan dalam kumpulan tetapi didalam bilik seminar saja. Membina ‘Kapal Terbang’. Kelakar betul. Macam-macam ada.

………………………………………….
Zainal- ngantuk, seronok dan wowwwwww

Sunday, April 12, 2009

Peluang Kenaikan Pangkat dan Menikmati Gaji Lebih Tinggi



Mesyuarat Khas Majlis Kongres CUEPACS sebulat suara menerima “Cadangan Tambahan Tangga Matagaji Sector Awam Mengikut Klasifikasi/Gred” yang telah dibentangkan oleh Puan Lok Yim Pheng , Timbalan Setiausaha Agung 1 pada mesyuarat Bil 4 sesi 2007-2010 yang telah diadakan di Hotel Lisbon, Jalan D’Albuqueque, Portuguese Settlement Ujong Pasir, Melaka, pada 11hb April 2009.

Diantara Isu-isu yang dibincangkan bersama termasuklah perkara-perkara tuntutan CUEPACS dan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia.
Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman yang mempengerusikan mesyuarat telah menerangkan beberapa perkara utama berkaitan isu-isu semasa. Diantaranya:

i) Maklumbalas/Penambahbaikan PTK
ii) Kenaikan COLA & Imbuhan Tetap Perumahan
iii) Kenaikan Pangkat Kumpulan Sokongan II
iv) Pekerja Kontrak/Sementara
v) Sambutan Hari Pekerja

Penambahbaikan PTK, pihak CUEPACS telah menyerahkan Memorandum Khas kepada KPPA dan menjangkakan menerima keputusannya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum 30hb Mei 2009. Penambaikan PTK telah diputuskan semasa mesyuarat khas di Hotel Sungai Petani Inn iaitu tidak akan menerima keseluruhan pakej butiran pindaan ke atas Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Januari 2009 dengan mengambil pendekatan mewujudkan Jawatankuasa Penyemakan bagi menambahbaikan kandungan yang terkandung didalam surat pekeliling kerana 40 peratus daripada 34 perkara yang dikemukakan itu tidak memuaskan.

Berkaitan tuntutan COLA dan Imbuhan Tetap Perumahan, ianya masih dalam peringkat penelitian Pihak Pembendaharaan Malaysia.

”Pemantapan dan Penambaikan Skim Perkhidmatan Awam” adalah salah satu tajuk strategi yang akan dicadangkan bagi isu kenaikan pangkat kumpulan sokongan. Cadangan-cadangan dan strategi ini telah dibincangkan bersama dalam mesyuarat tersebut. Ahli-ahli Kongres diberi peluang memberi cadangan dan idea-idea tambahan bagi penambahanbaikan cadangan tersebut.
Mengikut rekod pekerja kontrak dan sementara, seramai 50,000 kakitangan awam kontrak kini bertugas diseluruh negara termasuk dibawah pihak berkuasa tempatan (PBT). CUEPACS bimbang dengan situasi berkenaan dan menjangka seramai 10,000 kakitangan awam kontrak bakal kehilangan pekerjaan menjelang Jun. Malah ada yang telah berkhidmat selama 28 tahun tetapi ditamatkan kontaknya. Terbaru laporan bahawa 80 pegawai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bakal menerima nasib yang sama ditamatkan perkhidmatannya.

Melaka Bandaraya Bersejarah, bakal dikujungi oleh semua gabungan CUEPACS dari seluruh Malaysia. Sambutan Hari Pekerja yang akan diadakan pada 1hb Mei 2009 bakal menyaksikan “perubahan”. 3 Anugerah bakal disampaikan iaitu Anugerah Tokoh Pemimpin, Anugerah Kesatuan Aktif dan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang.

Kita tunggu perubahan-perubahan itu nanti.
Tarikh-tarikh penting aktiviti CUEPACS:
1. 30hb April 2009, Jam 2.00 petang(Taklimat Ekonomi di Universiti Putra Malaysia)
2. 1hb Mei 2009 ( Sambutan Hari Pekerja di Melaka)
3. 2hb Mei 2009 (Sambutan Hari Pekerja di Bukit Jalil)
4. 14 hb Mei 2009 (Hari Pekerja Sektor Awam 2009)

...........................................................
zainal-perubahan itu penting

Wednesday, April 8, 2009

Penyampaian Diploma Program Peralihan Ke 2

Kegembiraan jelas terpancar diwajah-wajah penerima Diploma Teknologi Makmal. Tahniah kepada semua.

Sejarah berulang kembali. Tahniah kepada semua. Hari ini 7hb April 2009, pengundian pilihanraya kecil bagi 3 kawasan telah bermula seawal 8.30 pagi. Hari ini juga, Persatuan Juruteknologis Makmal melakar satu sejarah lagi apabila 48 peserta Program Peralihan Ke 2 menerima Diploma masing-masing. Lebih membanggakan lagi, penyampaian Diploma tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Y Bhg Profesor Datuk Dr Ghausth Jasmon.

Turut hadir, Profesor Dr Rauzah Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Latihan Teknologi Makmal, Profesor Dr Mohd Sofian Azirun, Dekan Fakulti Sains, Tuan Hj Omar Osman, Presiden CUEPACS, Profesor Dr. Zanariah Abdullah, Ketua Jabatan Kimia, Profesor Dr Azman Abdul Ghani, Ketua Jabatan Geologi, Profesor Madya Dr Azilah Abd Rahman, Pengarah Pusat Asasi Sains, Encik Husain Mohd Yasin, Presiden Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM), Encik Ikmal Azam Thanaraj Abdullah, Timbalan Presiden KKAUM, Profesor Dr Kurunathan Ratnavelu, (ISM), Prof Madya Dr Lo Kong Mun, (Kimia), Dr Ng Kok Haur (ISM), Encik Puniamurthy Krishnasamy, Ketua Penolong Pendaftar Kanan, Encik Gopal Krishna, Presiden PjMUM, Semua Ahli Jawatankuasa PjMUM dan jemputan-jemputan khas.

Di dalam ucapan Y Bhg Naib Canselor, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pembantu makmal yang telah mengikuti Program Peralihan Pembantu Makmal yang bertujuan menyediakan dan melengkapkan diri bagi perubahan kerjaya. "Kita telah menyaksikan bagaimana pantas dan cepatnya perubahan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Persekitaran kerja juga berubah. Semua ini akan membawa kesan yang besar ke atas kakitangan Universiti kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini. Banyak perubahan dijangka akan berlaku, hasil kemajuan teknologi, globalisasi yang lebih pesat. Oleh itu pihak pengurusan Universiti Malaya berharap agar kakitangan-kakitanganya bersedia menerima perubahan dan membuat penyesuaian dengan pantas supaya terus relevan dan sesuai dengan keadaan zaman. Tanpa penyesuaian ini tidak mungkin Universiti Malaya dapat menghasilkan penyelidikan yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai kakitangan lebih berpengetahuan. Oleh itu, peningkatan ilmu dan latihan secara berterusan akan sentiasa disokong".

Program ini bersesuaian dengan Misi Universiti Malaya, 'Untuk memajukan ilmu pengetahuan dan pembelajaran melalui penyelidikan dan pendidikan berkualiti untuk negara dan kemanusiaan' serta bertepatan dengan Visi Universiti Malaya, 'Untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, inovasi,penerbitan dan pengajaran.

'Dengan adanya kakitangan makmal yang terlatih serta dilengkapi ilmu terkini, Universiti Malayaakan lebih berdaya saing. Harapan beliau agar kakitangan makmal yang berkemahiran, berganding bahu dengan pensyarah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan penyelidikan yang berkualiti'.

Saya bagi pihak Persatuan Juruteknologis Makmal mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat, khasnya kepada Penasihat PjMUM, Professor Dato' Dr. Mohd Jamil Maah, pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains, Fakulti Kejuruteraan, Pusat Asasi Sains, Dekan-Dekan Fakulti, Ketua-ketua Jabatan, Pejabat Keselamatan, Pejabat Pendaftar, ketua Penolong Pendaftar, Penolong Pendaftar, Seksyen Latihan, Bahagian Sumber Manusia terutamanya kepada penyelaras Program Peralihan Ke 2 selaku penyelaras pengraduan, Encik Shahrizamshazlin Abd Rahim diatas kerjasama yang diberikan sepanjang Program Peralihan berjalan serta kepada Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM).

...........................................
zainal-seronok semua gembira

Friday, April 3, 2009

Raptai Penyampaian Diploma

Semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah. Hari ini ada berlaku peristiwa penting pada negara. Hari ini juga di Universiti Malaya khasnya PjMUM juga berlaku peristiwa yang dianggap penting. Petang tadi berlangsungnya raptai penuh bagi penyampaian Diploma Teknologi Makmal. Penyampaian sepenuhnya akan diadakan pada 7hb April 2009. Mungkin tarikh yang dipilih secara kebetulan dengan peristiwa-peristiwa penting yang terjadi kepada sejarah negara. 3hb April 2009, Malaysia mendapat Perdana Menteri baru dan 7hb April 2009 pula berlangsungnya Pilihanraya Kecil Bukit Selambau, Kedah, Bukit Gantang, Perak dan Batang Ai di Sarawak.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta Peserta Program Peralihan Ke 2 yang bermula pada 28hb Mei 2007 dan berakhir sepenuhnya pada 8hb Julai 2008. Program Peralihan yang telah dianjurkan oleh Seksyen Pembangunan Sumber Manusia Bahagian Sumber Manusia (BSM) Universiti Malaya dengan kerjasama PjMUM ini merupakan program pengupredan jawatan Pembantu Makmal Universiti kepada Penolong Pegawai Sains. Dijalankan selama 2 tahun merangkumi 3 peringkat iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3.

Semasa sesi taklimat yang diadakan pada Mei 2007, Pengerusi Jawatankuasa Latihan Juruteknologis Makmal, Profesor Dr Rauzah Bte Hashim berkata ‘Meningkatkan kemahiran dan mempunyai pengetahuan didalam melaksanakan tugas yang lebih mencabar dalam merealisasikan ‘Universiti Penyelidikan Bertaraf Dunia’ adalah matlamat yang ditekankan didalam program tersebut disamping akan memberi kesan kepada tahap integriti (Satu kualiti dan ciri positif yang wujud secara keseluruhan pada individu dan organisasi. Ciri dan kualiti integriti yang mengandungi unsur “Wholeness” (yakni kewujudan secara berpadu sebagai keseluruhan ) pada individu ataupun organisasi dan kepada peserta program tersebut khasnya’

Kepada semua penerima, bidang pendidikan global sentiasa menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dengan perubahan teknologi yang begitu ketara. Usaha pembaharuan perlu dijadikan satu amalan berterusan oleh semua anggota Universiti untuk memastikan Institusi kita ini sentiasa kehadapan Tahniah semua.
.................................................
zainal-dulu penerima hari ini penyelaras