Wednesday, April 22, 2009

Induksi Hari Ke Tujuh

Harta secara amnya ialah pemilikan sesuatu yang berharga, diperolehi bagi tujuan memegang atau menggunakan dalam sesuatu tempoh atau sepanjang masa didalam menguruskan sesuatu institusi. Sepanjang saya mengikuti kursus samada kursus dalaman ataupun di luar Universiti, tidak pernah ada penceramah yang membawa topik berkaitan Pengurusan Aset. Perkara berkaitan Pengurusan Aset terkandung didalam Pengurusan Harta Awam. Dapat dirujuk pada Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007, Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan. Kemungkinan kalau saya tidak menghadiri kursus induksi ini, sampai bila-bila pun saya tidak akan tahu betapa pentingnya langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh penjawat awam mengurus dengan betul sesuatu aset itu jika berlakunya kehilangan atau sebaliknya. Betapa naifnya pengetahuan saya.

Kuliah hari ini telah disampaikan oleh Encik Pubadi A/L Govindasamy. Beliau berkhidmat di Institut Tadbir Awam Negara atau lebih dikenali sebagai INTAN. Saya adalah diantara kakitangan awam yang bertuah kerana penceramah jemputan urusetia kursus induksi ini terdiri penceramah yang berpengalaman serta berpengetahuan luas.

Aset bermaksud harta benda kepunyaan atau milikan atau di bawah kawalan Kerajaan yang dibeli atau yang disewa beli dengan wang Kerajaan, yang diterima melalui sumbangan atau hadiah atau diperolehi melalui proses perundangan.

Aset Alih pula didefinasikan sebagai aset yang boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain termasuk aset yang dibekalkan atau dipasang bersekali dengan bangunan. Bagi memastikan pengurusan Aset Alih Kerajaan dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan di Kementerian/Jabatan, peranan dan tanggungjawabPegawai Pengawal dalam pengurusan Aset Alih Kerajaan diberi penekanan.

Pengurusan Aset Alih Kerajaan secara menyeluruh belum pernah digubal sebelum ini. Pengurusan Aset Alih sebelum ini merujuk kepada berbagai dokumen seperti Arahan Perbendaharaan (AP), Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor (PP-TPS), Pekeliling Perbendaharaan (PP) dan Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP).

Tatacara pengurusan Aset Alih ialah tatacara bagi menguruskan Harta Modal dan Inventori meliputi:

Bab A : Penerimaan
Bab B : Pendaftaran
Bab C : Penggunaan, Penyimpanan dan Pemeriksaan
Bab D : Penyelenggaraan
Bab E : Pelupusan
Bab F : Kehilangan dan Hapus Kira

Sebagai seorang penjawat awam, peraturan-peraturan pengurusan aset hendaklah dilakukan mengikut tatacara yang diarahkah. Banyak kes-kes berlakunya penyelewengan atas sebab-sebab pengurusan yang tidak cekap dan tidak amanah. Manusia akan mengambil kesempatan apabila diberi kuasa. Harta awam dibuat seperti harta sendiri. Justeru tidak hairanlah dalam dunia hari ini manusia berlumba-lumba dalam kesibukan untuk mengumpulkan harta sebanyak mungkin. Dengan harta, manusia seolah-olah dalam memiliki apa sahaja yang mereka inginkan di dunia ini. Bahkan telah wujud pepatah yang masyhur sekarang ini, “Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Pepatah ini adalah membayangkan bahawa wang telah mendominasi kehidupan manusia zaman moden ini. Dalam kesibukan mengejar harta manusia mungkin boleh terlalai dengan meninggalkan amalan-amalan yang diwajibkan ke atas mereka.

Sesi petang, kuliah bertajuk Tatacara Perolehan Universiti Malaya telah disampaikan oleh Tuan Haji Noor Hashim Taib, Ketua Penolong Bendahari Kanan daripada Bahagian Perolehan Bendahari. Berasal dari Kelantan. Satu topik yang telah menjadi tugasan harian saya sebenarnya.

..................................................
zainal- ada seminggu lagi kena mengadap...

No comments: