Saturday, November 15, 2008

Mesyuarat Kongres CUEPACS, Kota Kinabalu, Sabah

Mesyuarat kongres CUEPACS telah dipengerusi oleh Presiden CUEPACS, Tuan Haji Omar Osman pada 15hb November 2008 di Tang Dynasty Park Hotel pada pukul 9.30 pagi. Kesemua pegawai utama dan ahli-ahli kongres telah hadir. Pandangan dan pendapat dari semua pihak berkaitan masalah-masalah sektor awam telah dibincangkan dalam keadaan yang sungguh harmoni tanpa perbalahan.

Didalam kata-kata aluan Presiden, kejayaan demi kejayaan telah dicapai terutama berkenaan tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak kerajaan.

Semua ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah bersetuju sebulat suara menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Presiden, Tuan Haji Omar Osman berkata, proses kenaikan pangkat kakitangan awam yang dinilai mengikut prestasi dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan lebih berkesan berbanding kaedah peperiksaan yang digunakan sekarang.

''CUEPACS akan memboikot peperiksaan PTK jika ia tidak dimansuhkan tahun depan dan kita memberi tempoh hingga 31 Disember ini kepada JPA untuk membuat keputusan, sama ada meneruskan sistem itu atau sebaliknya. ''Justeru, kami mahu proses kenaikan pangkat dinilai mengikut prestasi kerja dan temu duga secara lisan oleh ketua jabatan,'' katanya
CUEPACS telah mengadakan perbincangan dengan JPA mengenai kaedah peperiksaan PTK yang baru untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Satu (Gred 17 hingga 40) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga 54) sebelum ini. Selain itu, katanya, perbincangan yang sama juga sudah diadakan untuk kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua (Gred 1 hingga 16). Perbincangan kedua-dua pihak tertumpu kepada pemansuhan peperiksaan PTK dan jika ia tidak diterima, CUEPACS mahu kaedah baru iaitu kenaikan pangkat mengikut prestasi kerja dilaksanakan. Katanya, kaedah itu lebih adil berbanding peperiksaan PTK yang diamalkan sekarang kerana ia memberi tekanan kepada kakitangan awam.

Dalam pada itu, Omar berkata, CUEPACS mahu Elaun Kos Sara Hidup (COLA) diselaraskan di seluruh negara. Menurutnya, ketiadaan elaun COLA bagi kakitangan awam dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung atau kawasan terpencil di negeri masing- masing menimbulkan ketidakpuasan hati mereka terhadap JPA.

Walaupun isu berkenaan sering disuarakan oleh kakitangan kedua-dua negeri itu, tetapi tidak mendapat layanan JPA dan menyebabkan mereka berasa dianaktirikan oleh kerajaan Pusat. ''Kami juga mahu imbuhan tetap perumahan antara RM180 hingga RM230 yang dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Mei 2007, dilaksanakan pada tahun depan.
Mesyuarat Kongres ditangguhkan pada pukul 1.00 ptg.
.....................
zainal- kali pertama menghadiri mesyuarat kongres setelah 3 kali sebelum ini terlepas.

No comments: