Friday, February 20, 2009

Dialog KKAUM bersama Pengurusan Tertinggi Universiti Malaya

Hampir 2 tahun selepas mesyuarat Agong pemilihan ahli-ahli exco, inilah pertama kali dapat bersama-sama bergambar beramai-ramai. Itu pun selepas mengadakan dialog bersama pengurusan tertinggi Universiti Malaya yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaya, Y bhg Profesor Dato' Dr Ghauth Jasmon.
Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya telah mengadakan dialog bersama Pengurusan Tertinggi Universiti Malaya berkaitan isu-isu dan masalah-masalah yang merangkumi skim perkhidmatan, keselamatan, kenaikan pangkat, elaun, bayaran insentif, aduan-aduan pelajar, kemudahan tempat tinggal, penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) serta kursus-kursus yang bersesuaian kepada kakitangan sokongan.

Pengurusan tertinggi Universiti Malaya telah diketuai oleh Y bhg Profesor Dato’ Dr. Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya, Y.Bhg. Profesor Dato' Dr. Mohd Jamil b. Maah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Y.Bhg. Profesor Dato' Dr. Mohd. Amin Jalaludin, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Y bhg Profesor Dato’ Dr. Khaw Lake Tee, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Cik Norilah Salam, Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia, Profesor Dr. Nor Edzan Hj Che Nasir , Ketua Pustakawan, Encik Mahamad Apandi, Timbalan Pendaftar, Puan Robaayah Mohd Ghazali, Ketua Penolong Pendaftar serta Encik Ismail bin Mohd Hashim, Pengarah Keselamatan Universiti Malaya.

KKAUM telah diwakili oleh semua Pegawai Tertinggi yang diketuai Presiden KKAUM, Encik Husain Bin Mohd Yasin dan semua Exco-Exco dari setiap Fakulti, Pusat, Perpustakaan, Pejabat Bendahari, Pejabat Pendaftar serta Gabungan Kolej. Majlis dailog telah diadakan pada 20hb Febuari 2009 bermula jam 3.00 petang dan berakhir jam 6.00 petang.

Didalam isu skim perkhidmatan, diantara isu-isu yang dibangkitkan adalah peluang kenaikan pangkat Skim Perkhidmatan Pembantu Am Rendah, Jurutaip, Pembantu Perpustakaan serta Pekerja-Pekerja Kolej. Pemberian elaun bagi kakitangan yang menanggung tugas turut disentuh, mengadakan kursus-kursu yang difikirkan perlu dan memberi bantuan berupa kewangan bagi kakitangan-kakitangan yang ingin melanjutkan pelajaran bagi memperolehi sijil akademik yang lebih tinggi demi memperbaiki kerjaya, agihan tugasan yang bersesuaian dengan penyandang, tempat bertugas serta kakitangan perlu melaksanakan tugasan mengikut senarai tugasan yang telah dikeluarkan oleh Pihak Bahagian Sumber Manusia yang boleh di semak di: http://qamu.um.edu.my/~qamue

Bagi isu keselamatan di Universiti Malaya, KKAUM memohon agar disetiap Fakulti, Pusat, Perpustakaan, Bangunan Peperiksaan disediakan ‘post’ kawalan bagi membolehkan pemantauan 24 jam dilakukan. Memandangkan terdapat beberapa kejadian seperti kecurian, kebakaran, pencerobohan daripada pihak yang tidak dikenali serta sabotaj-sabotaj seperti yang terjadi di Akademik Pengajian Islam baru-baru ini. Untuk maklumat semua, sebanyak 54 buah kamera litar tertutup telah dipasang ditempat-tempat strategi didalam kawasan Universiti terutama disemua pintu-pintu utama bagi mengawasi keselamatan kawasan kampus. Jumlah tersebut tidak termasuk yang telah dipasang oleh sesetengah Pusat Tanggungjawab (PTj) daripada peruntukkan masing-masing. Bagi memberi perkhidmatan yang lebih proaktif, sebahagian kakitangan keselamatan telah dihantar bagi mengikuti kursus-kursus berkaitan pengendalian kamera litar tertutup tersebut.

Y bhg Profesor Dato’ Dr. Khaw Lake Tee, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pula menyatakan perancangan telah dijalankan bagi kemudahan tempat tinggal bagi kumpulan sokongan. Didalam perancangan, 200 unit penempatan keutamaan akan diberikan kepada kakitangan yang tersenarai menjalankan tugasan yang memerlukan komitmen tertentu seperti menjawat tugasan yang berkepentingan bagi Universiti sekiranya berlaku kecemasan, kepakaran daripada kakitangan tersebut diperlukan. Disamping itu juga, membaiki mutu dan menaiktaraf infrasuktur serta kemudahan-kemudahan sedang giat dijalankan.

KKAUM mengucapkan ribuan terima kasih diatas keprihatinan pihak tertinggi Universiti Malaya diatas kesudian bagi dialog tersebut. Mudah-mudahan segala perancangan yang akan dilakukan merealisasikan MISI iaitu Untuk memajukan ilmu pengetahuan dan pembelajaran melalui penyelidikan dan pendidikan berkualiti untuk negara dan kemanusiaan dan VISI, Untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengajaran
......................................................................
zainal-terpaksa hantar email kepada 200 ahli KKAUM Fakulti Sains untuk dapatkan maklumat.

No comments: