Friday, April 24, 2009

Induksi Hari Ke Sembilan


Lega…tiada soalan yang akan keluar dalam peperiksaan. Tiga topik hari ini dari semua penceramah tidak termasuk dalam subjek yang akan keluar soalan peperiksaan. Hari ini merupakan hari mendengar disamping menambah pengetahuan sahaja. Bermula daripada Puan Susanna Ameriyati Suwandi (beliau cakap jangan tanya pasal namanya) yang memberi ceramah bertajuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Topik yang paling saya minat. Skop yang lebih menerangkan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994, Apakah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prinsip Keselamatan & Kesihatan, Risiko yang wujud di tempat kerja, Siapakah yang bertanggungjawab serta Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Malaya.

Tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terletak di atas mereka yang mewujudkan risiko dan mereka yang bekerja dengan risiko tersebut itulah falsafah kewujudan Akta ini. Ianya bertujuan bagi Memastikan keselamatan, kesihatan & kebajikan orang sedang bekerja. Melindungi orang lain terhadap risiko keselamatan atau kesihatan berkaitan aktiviti orang sedang bekerja. Mempromosikan persekitaran pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak fizikal dan mental pekerja dan Mewujudkan peraturan serta tataamalan organisasi ke arah sistem perundangan

Tugas majikan pula adalah bagi memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan & kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Mengadakan sistem kerja dan penyenggaraan tempat kerja. Membuat perkiraan keselamatan dan kesihatan bagi penggunaan, pengendalian, penanganan, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan Mengadakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan. Mengada dan menyenggara tempat kerja dan laluan keluar / masuk ke / dari sebarang tempat kerja. Mengada dan menyenggara persekitaran kerja dan dengan kemudahan kebajikan yang mencukupi.

Penceramah ke 2, Prof. Madya Rosli Mahat daripada Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya pula memberi taklimat berkaitan kepentingan sekiranya menjadi ahli sesebuah persatuan. Topik yang relevan kepada kumpulan pengurusan dan profesional sahaja. Sebagai peserta, saya cuma mendengar aje. Taklimat yang disampaikan lebih kepada mempromosi agar kumpulan pengurusan dan profesional untuk menjadi ahli.

Kuliah sesi petang bermula agak lewat. Penceramah tersesat katanya. ‘What everlah’…
Pelik juga alasannya. Tajuk berkaitan Audit Dalaman. Disampaikan oleh Encik Jalani Hassan. Tiada yang istimewa pada tajuk ini. Mendengar sekadar menambahkan ilmu. Ungkapan keramat dari beliau ‘ audit. dalaman datang ke tempat anda bertugas bukan untuk mencari kesalahan”.

.....................................................
zainal-ralat betul hari ini, kotak rokok yang cantik dikebas orang

Thursday, April 23, 2009

Induksi Hari Ke Lapan


Tiga sesi berlainan penceramah. Ceramah pertama sesi pagi telah disampaikan oleh Tuan Syed Haron Ahmad, bekas Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia,Universiti Malaya. Mula bertugas di Universiti Malaya pada tahun 1977. Saya ketika itu baru berumur 12 tahun. Masih di sekolah rendah dalam darjah 6. Beliau bersara wajib pada tahun 2006 ketika berumur 56 tahun. Pernah bertugas dibawah 6 orang Naib Canselor Sekarang berkhidmat dengan syarikat swasta juga sebagai Pendaftar.

Bersesuai dengan pengalaman beliau, topik berkaitan Sejarah dan Struktur Organisasi & Peranan Universiti. Wujudnya Universiti Malaya bermula pada 16 Jun 1905. Dengan penubuhan Sekolah Perubatan Kerajaan-Kerajaan Negeri Selat dan Negeri-Negeri Bersekutu. Pada tahun 1912, King Edward VIII telah mengusulkan agar Sekolah Perubatan bersempena nama beliau ditubuhkan dimana pembelajarannya setaraf dengan Universiti. Tahun 1927, dengan tertubuhnya Kolej Raflles (Sekolah Tinggi) yang menawarkan pembelajaran berbeza seperti Kejuruteraan, Sains maka pergabungan diantara keduanya pada 8 Oktober 1949, maka tertubuhlah Universiti Malaya. Beroperasi di Singapura. Pada 1hb Januari 1962 pula, telah diberi pengiktirafan sebagai Universiti Nasional Tanah Melayu.

Bagi generasi 1951 tradisi melintasi “Quadrangle” merupakan detik yang ditunggu-tunggu. Melintasi Quadrangle merupakan satu upacara yang dilakukan hanya kepada para graduan yang telah berjaya sahaja di tahun akhir pengajiannya. Adalah menjadi kesalahan kepada graduan yang gagal semasa pengajian melintasi Quadrangle.

Bagi Universiti Malaya Kuala Lumpur, Tahun 1966, merupakan sejarah dimana istiadat Konvokesyen yang pertama telah diadakan di Dewan Tunku Canselor.

Sesi ke 2 pula, topik berkaitan “Pengucapan Awam” telah disampaikan oleh Profesor Madya Siti Rohani Kassim, Pensyarah daripada Jabatan IngerĂ­s, Fakulti Sastera & Sains Sosial. Pada sesi ini, peserta kursus telah diberikan tugas secara berkumpulan dengan memilih tajuk-tajuk bebas. Setiap kumpulan perlu melantik seorang dari ahlinya mempersembahkan ucapan. Macam-macam adaaaa.

Petang pula, sesi ke 3. Encik Hashim Ghani, Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Sumber Manusia telah menyampaikan ceramah bertajuk “Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Beliau merupakan penceramah yang pernah mengendalikan Kursus Induksi yang pertama sekali saya hadiri pada tahun 1996.

…………………………………..
zainal-banyak sejarah sepanjang berkhidmat.

Wednesday, April 22, 2009

Induksi Hari Ke Tujuh

Harta secara amnya ialah pemilikan sesuatu yang berharga, diperolehi bagi tujuan memegang atau menggunakan dalam sesuatu tempoh atau sepanjang masa didalam menguruskan sesuatu institusi. Sepanjang saya mengikuti kursus samada kursus dalaman ataupun di luar Universiti, tidak pernah ada penceramah yang membawa topik berkaitan Pengurusan Aset. Perkara berkaitan Pengurusan Aset terkandung didalam Pengurusan Harta Awam. Dapat dirujuk pada Pekeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007, Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan. Kemungkinan kalau saya tidak menghadiri kursus induksi ini, sampai bila-bila pun saya tidak akan tahu betapa pentingnya langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh penjawat awam mengurus dengan betul sesuatu aset itu jika berlakunya kehilangan atau sebaliknya. Betapa naifnya pengetahuan saya.

Kuliah hari ini telah disampaikan oleh Encik Pubadi A/L Govindasamy. Beliau berkhidmat di Institut Tadbir Awam Negara atau lebih dikenali sebagai INTAN. Saya adalah diantara kakitangan awam yang bertuah kerana penceramah jemputan urusetia kursus induksi ini terdiri penceramah yang berpengalaman serta berpengetahuan luas.

Aset bermaksud harta benda kepunyaan atau milikan atau di bawah kawalan Kerajaan yang dibeli atau yang disewa beli dengan wang Kerajaan, yang diterima melalui sumbangan atau hadiah atau diperolehi melalui proses perundangan.

Aset Alih pula didefinasikan sebagai aset yang boleh dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain termasuk aset yang dibekalkan atau dipasang bersekali dengan bangunan. Bagi memastikan pengurusan Aset Alih Kerajaan dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan di Kementerian/Jabatan, peranan dan tanggungjawabPegawai Pengawal dalam pengurusan Aset Alih Kerajaan diberi penekanan.

Pengurusan Aset Alih Kerajaan secara menyeluruh belum pernah digubal sebelum ini. Pengurusan Aset Alih sebelum ini merujuk kepada berbagai dokumen seperti Arahan Perbendaharaan (AP), Panduan Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Stor (PP-TPS), Pekeliling Perbendaharaan (PP) dan Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP).

Tatacara pengurusan Aset Alih ialah tatacara bagi menguruskan Harta Modal dan Inventori meliputi:

Bab A : Penerimaan
Bab B : Pendaftaran
Bab C : Penggunaan, Penyimpanan dan Pemeriksaan
Bab D : Penyelenggaraan
Bab E : Pelupusan
Bab F : Kehilangan dan Hapus Kira

Sebagai seorang penjawat awam, peraturan-peraturan pengurusan aset hendaklah dilakukan mengikut tatacara yang diarahkah. Banyak kes-kes berlakunya penyelewengan atas sebab-sebab pengurusan yang tidak cekap dan tidak amanah. Manusia akan mengambil kesempatan apabila diberi kuasa. Harta awam dibuat seperti harta sendiri. Justeru tidak hairanlah dalam dunia hari ini manusia berlumba-lumba dalam kesibukan untuk mengumpulkan harta sebanyak mungkin. Dengan harta, manusia seolah-olah dalam memiliki apa sahaja yang mereka inginkan di dunia ini. Bahkan telah wujud pepatah yang masyhur sekarang ini, “Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang”. Pepatah ini adalah membayangkan bahawa wang telah mendominasi kehidupan manusia zaman moden ini. Dalam kesibukan mengejar harta manusia mungkin boleh terlalai dengan meninggalkan amalan-amalan yang diwajibkan ke atas mereka.

Sesi petang, kuliah bertajuk Tatacara Perolehan Universiti Malaya telah disampaikan oleh Tuan Haji Noor Hashim Taib, Ketua Penolong Bendahari Kanan daripada Bahagian Perolehan Bendahari. Berasal dari Kelantan. Satu topik yang telah menjadi tugasan harian saya sebenarnya.

..................................................
zainal- ada seminggu lagi kena mengadap...

Tuesday, April 21, 2009

Induksi Hari Ke Enam


‘Buatlah sesuatu perkara yang betul tanpa dilihat orang’. Itulah nilai sebenar orang yang berintegriti tapi kebiasaanya apa yang sering saya jumpa, ‘Buat kerja bagi orang nampak’. Itulah hakikatnya yang banyak kita temui. Kalau buat kerja depan bos bukan main lagi.
‘Pengurusan Integriti dan Akauntabiliti merupakan tajuk ceramah pada pagi ini. Awal-awal lagi Encik Mohammad Diah Bin Haji Wahari, A.M.N, Pengarah Sektor Awam, Institut Integriti Malaysia dah tercongok. Mengikut jadual kuliah sepatutnya dimulakan pukul 9.00 pagi selepas kundapan tetapi disebabkan kudapan lambat disediakan, kuliah terpaksa dijalankan lebih awal. Sementara menunggu persiapan kudapan, saya telah mencadangkan agar kuliah dijalankan dahulu. Semua ikut perintah. Bagus betul peserta-peserta ini. Akur dengar cadangan saya.
Pegawai yang berintegriti hendaklah, Mempamerkan nilai moral dan etika yang tinggi, Bertindak dengan jujur tanpa mengambilkira keuntungan peribadi, Berpegang teguh kepada keputusan yang berasaskan kebenaran dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih, Tidak menyalah gunakan kuasa atau autoriti, Tidak bertolak ansur dengan tingkah laku yang tidak profesional atau tidak beretika merupakan unsur-unsur yang perlu diterapkan dalam diri seorang penjawat awam. Berat juga tanggungjawab penjawat awam ini. Saya akui, untuk mencapai perkara-perkara tersebut amat berat. Hanya mereka yang benar-benar insan kamil dan ikhlas dalam menjalankan tugas saja akan mampu.
Diakhir ceramah, beliau sempat memberi ungkapan motivasi dalam bahasa inggeris yang berbunyi “ If you lose you money, you lose nothing. If you lose your health, then you lose something but if you lose your integrity, you lose everything. You lose it once, you wil lose it forever. Pandai-pandailah tafsirkan.
Sesi petang ceramah bertajuk Arahan Keselamatan telah disampaikan oleh Encik Hashim Ismail daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. Perwatakan yang selamba. Tidak kering gusi dibuatnya. Penyampaiannya membuatkan peserta gelak sakan. Subjek berkaitan Akta Rahsia Rasmi 1972.
Definasi dokumen rahsia, apa-apa surat yang dinyatakan dalam jadual dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan denganya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh di kelaskan sebagai Rahsia Besar, Rahsia, Sulit atau Terhad mengikut mana yang berkenaan oleh seorang Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri sesebuah negeri atau pegawi awam yang dilantik mengikut seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972.Penceramah yang sering terlajak, kejab cakap 4.30, kejab cakap 4.40, akhirnya sampai pukul 5.00 ptg baru habis. Masing-masing dah resah nak balik. Saya pun selalu terlajak dalam beberapa hal. Maklumlah selalu tanpa sekatan.

Hari ini baru saya tahu perumpamaan orang melayu dulu-dulu dan sering kita gunakan sehingga ke hari ini “ seperti melepaskan batuk ditangga”. Rupa-rupanya perkataan ‘BATUK’ yang dimaksudkan adalah slang bahasa orang jawa yang bermaksud ‘TEMPURUNG KELAPA’. Mati-mati saya ingatkan batuk kokol ke, batuk kerana sakit tekak ke.. rupa-rupanya maksud perumpamaan itu sebenarnya mengesahkan sikap sesetengah orang-orang melayu dahulu kala iaitu perbuatan sebelum menaiki rumah, menceduk air dalam tempayan yang tersedia ada di tepi tangga untuk mencuci kaki sebelum naik kerumah. Penceduk itu lah sebenarnya dipanggil ‘BATUK’.
Oleh kerana nak cepat naik ke rumah setelah mencuci kaki, ‘BATUK’ dibiarkan bersepah tanpa diletakkan kembali di tempayan. Perbuatan tersebut telah ditaksirkan sebagai memudahkan cara. Tidak mengikut peraturan. Sepatutnya 'BATUK' dikembalikan ke tempat asalnya. Al kisahnya. Manalah teman tahu...Teman saya di pejabat lain pula halnya, suka memanggil saya dengan panggilan ‘BUTUK’. Bila saya tanya maknanya, dia cakap kena cari sendiri. Kalau nak tahu maknanya kena bagi upah. Puas saya cuba mencari maknanya didalam Kamus Dewan tapi tidak jumpa pun perkatan itu.
……………………………………
Zainal-kalau nak cari yang berintegriti (?), datanglah ke Jabatan saya.

Monday, April 20, 2009

Induksi Hari Ke Lima


Minggu lepas, sebagai ‘penghulu’ saya ditugaskan agar membahagikan tugasan kepada setiap kumpulan. Pengagihan dilakukan bagi setiap kumpulan agar melantik ketua masing-masing. Induksi kali ini telah dibahagikan kepada 11 kumpulan. Ada kumpulan terdiri daripada 4 orang atau 5 orang peserta.

Saya berjumpa sendiri dengan kumpulan 4 bagi menanyakan siapakah ketua yang dilantik, jawapan yang diterima, Encik ’simpolan A’ yang jadi ketua tetapi belum hadir lagi. Saya menunggu kehadirian Encik ’simpolan A’. Bila Encik ’simpolan’ hadir, saya mengatakan kepadanya bahawa tugasan menjadi pengerusi majlis dan menemu bual bagi mendapatkan biodata penceramah untuk sesi memperkenalkan penceramah kepada semua peserta kursus. Lain pula jawapan yang saya terima dari Encik 'simpolan A'. Dia mengatakan bahawa Encik 'simpolan B' sebenarnya telah dilantik menjadi ketua kumpulan. Apa dah...berbelit-belit

Memandangkan sikap lepas tangan mereka, saya mengambil tugasan tersebut. Perlantikan ketua sepatutnya telah dilakukan pada minggu lepas tapi inilah satu contoh sikap yang ’kurang prihatin’ bila diberikan tugas. Tiada berkerjasama antara sesama kumpulan. Saya umpamakan kumpulan ini 'bagai kapal tanpa nakhoda'. Nakhoda yang tidak berani bertanggungjawab'

Penceramah hari ini daripada Jabatan Arkib Negara, Encik G Savumtharaj telah menyampaikan ceramah bertajuk Panduan Pengurusan Pejabat. Tajuk baru dan isi kandungannya berbeza. Sebelum ini, Arahan Perkhidmatan. Topiknya menyentuh bab 6, 7, 8, Konsep Pengurusan Rekod. Tidak membosankan.

Definasi Rekod, ’Sesuatu media yang mengandungi maklumat’ dan definasi Fail pula, ’Penyusunan fail-fail kedalam kumpulan-kumpulan yang mempunyai perkara yang sama dimana tiap-tiap fail dan kumpulan fail dikenali dengan identitinya tersendiri’.

Petang pula, Puan Lim Chor Yoke daripada Bahagian Sumber Manusia. Memberi ceramah berkaitan Perintah Am dan Peraturan Pegawai Awam. Saya perhatikan semua peserta, layannnnnnnnn.
……………………………..
zainal- petang sempat ke UM

Sunday, April 19, 2009

Meraba Mencari Arah...

Gambar yang di ambil oleh rakan saya Encik Wan Yusof semasa sesi semangat berkumpulan mungkin secara kebetulan atau sudah ada tanda-tandanya. Sehari suntuk dari semalam hingga hari ini, saya bagaikan meraba-raba mencari arah...hanya empunya diri dan mungkin seorang lagi insan lain memahami apa yang tersirat....

Saturday, April 18, 2009

Plag, Sijil dan Baju..

Dah seminggu saya tak menjenguk tempat kerja. Dikesempatan hari cuti ini dapatlah saya meluangkan sedikit masa untuk kesana. Perasaan rindu dapat dirasakan. 23 tahun saya berkhidmat di Fizik. Seminggu tidak ke pejabat rasanya seperti ada satu kekurangan. Maklum sajalah, dah menjadi rutin sejak 1986 lagi. Secara kebetulan pula hari ini juga pakaian yang ditempah untuk pemain-pemain karom siap dan selamat diagihkan kepada semua. Sebagai pengurus karom untuk tahun ke 2, kebajikan pemain merupakan objektif saya. Kepercayaan yang mereka berikan, saya perlu bertanggugjawab sepenuhnya. Harapan saya cuma satu. Keputusan mestilah lebih baik dari tahun 2008.

Melangkah saja didalam makmal, saya terpandang satu ‘plag’ berserta sekeping sijil penghargaan. Wowwww. Ini dah bagus. Tertulis “Anugerah Kakitangan Cemerlang, Bahagian Teknikal, Jabatan Fizik”. Biar betul dalam hati saya tapi itulah kenyataanya. Terima kasih saya ucapkan kepada urusetia ‘2009 PHYSICS COLLOQUIM’ diatas anugerah ini. Colloqium Physics telah diadakan pada 13hb April hingga 14hb April 2009 iaitu selama 2 hari bagi semua pelajar-pelajar Sarjana dan PhD membentangkan kertas kerja berkaitan penyelidikan dihadapan penilai-penilai berkecuali yang terdiri daripada Profesor, Proresor Madya, Pensyarah Kanan dan Pensyarah.

Terharu rasanya kerana sumbangan kecil saya dihargai dengan anugerah ini. Ianya akan menjadi motivasi untuk terus menyumbang idea dan tenaga di masa datang. Kepada Encik Hii King Ung yang lebih mesra dengan panggilan ’Tony’ dan Encik Kanesh ‘Big Man’, terima kasih ye..

……………………………………….
Zainal-perkara pertama mestilah foto dulu…