Thursday, May 14, 2009

Kumpulan Sokongan Gred Lantikan Ditimbang Naik Pangkat


”1 Malaysia ” Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan tema perhimpunan hari pekerja sektor awam 2009 anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Majlis telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14hb Mei 2009.

Dihadiri seramai 3,000 orang penjawat awam dari seluruh Malaysia.

Perhimpunan tahunan ini merupakan majlis yang pertama kali dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sejak dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden Cuepacs, Tuan Haji Omar Osman.

Ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mahu dikenali sebagai 'Perdana Menteri Rakyat' yang mesra dengan rakyat dan dapat memahami kehendak rakyat.

"Saya sentiasa bersama-sama dengan rakyat dan akan terus bersama-sama dengan rakyat," kata Perdana Menteri sambil menegaskan tidak sepatutnya wujud anggapan bahawa beliau adalah anak golongan bangsawan. "Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya,"

Kakitangan sektor awam memberi tumpuan kepada usaha untuk mempertingkatkan produktiviti yang akan meningkatkan hasil negara. Jika hasil negara bertambah, maka pendapatan pekerja turut meningkat. Sebagai Menteri Kewangan juga beliau menjelaskan bahawa beliau bukan orang yang tidak prihatin kepada golongan pekerja, dan ini dapat dibuktikan menerusi khidmat beliau ketika menerajui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran sebelum ini.

"Track record saya selama ini di Kementerian Pertahanan, tanyalah perajurit kita. Di Kementerian Pelajaran, tanyalah guru-guru apa yang saya telah buat, tak pernah dalam sejarah ada kenaikan pangkat berasas tempoh para guru. "Sayalah orang pertama memperkenalkan 'time-based promotion'. Bermakna kita sentiasa (memikirkan) bagaimana untuk mempertingkatkan (pendapatan) tetapi pokoknya, produktiviti dan hasil negara juga mesti ditingkatkan," katanya.

Najib berkata beliau tidak mahu Malaysia kekal dikenali sebagai negara berpendapatan rendah, dan sebab itulah, kerajaan sedang merangka model ekonomi baru yang bertujuan agar negara tidak lagi berada dalam lingkaran kumpulan berpendapatan sederahana.

Berkuatkuasa 1 Julai ini Pegawai kumpulan sokongan yang berkhidmat 15 tahun atau lebih serta masih berada dalam gred lantikan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi dan beberapa skim perkhidmatan akan dinaik taraf juga. Katanya langkah itu adalah sebagai menghargai sumbangan 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan persekutuan.

Kerajaan juga, katanya, bersetuju untuk menggubal dua skim perkhidmatan yang baru iaitu pegawai penyediaan makanan dan pembantu laut dan menaik taraf lapan skim perkhidmatan termasuk skim perkhidmatan operator mesin prosesan data (OMTD), pembantu tadbir rendah (PTR) dan jaga.

Langkah itu akan melibatkan 20,637 penjawat awam. Keputusan kerajaan ini akan melibatkan kos tambahan sebanyak RM170.4 juta. Beliau juga berharap agar kakitangan sektor awam memberi tumpuan kepada usaha untuk mempertingkatkan produktiviti yang akan meningkatkan hasil negara. Jika hasil negara bertambah, maka pendapatan pekerja turut meningkat.

"Kita bukan negara kos pengeluarannya rendah tetapi belum berjaya melonjakkan sebagai negara berpendapatan tinggi. Oleh itu, kita perlu menggubal model ekonomi baru berasaskan kepada bidang-bidang yang boleh dicari untuk mencapai lonjakan nilai tambah negara,". Untuk mencapai lonjakan berganda, negara mesti mengubah daripada ekonomi berasaskan industri, berteraskan ilmu kepada inovasi.

"Sebab apabila kita sudah ada hasil, pendapatan negara bertambah, tentu sekali, kerajaan tak lupa kepada pekerja," katanya.

Najib juga berkata beliau berazam untuk memupuk hubungan baik dan akrab dengan anggota pentadbiran sektor awam sebagaimana ayahanda beliau allahyarham Tun Razak Hussein yang begitu akrab hubungannya dengan kakitangan kerajaan.

"Saya pernah menyatakan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri, bahawa hubungan antara kerajaan dan penjawat awam mesti berasaskan kepada satu hubungan yang bertaut pada prinsip yang lebih mendalam daripada hanya menyatakan ini satu perkongsian atau permuafakatan.

"Saya gunakan prinsip al-wa'ad bererti kesetiaan, saya guna al-bai'ah, bererti komitmen antara satu sama lain.

"Jika penjawat awam menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi, komitmen yang padu, Insya-Allah, negara lebih maju pada masa akan datang,"
....................................................
Zainal-kali pertama menghadiri majlils PM baru.

No comments: